Isnin, 15 Ogos 2022 | 9:38am
Pekerja di Malaysia mementingkan fleksibiliti yang ditawarkan oleh pekerjaan - NSTP/Aswadi Alias
Pekerja di Malaysia mementingkan fleksibiliti yang ditawarkan oleh pekerjaan - NSTP/Aswadi Alias

Separuh pekerja Malaysia sanggup berhenti jika tidak gembira

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 peratus pekerja di Malaysia tidak bimbang untuk berhenti daripada pekerjaan jika ia menghalang mereka daripada menikmati kehidupan peribadi.

Jumlah itu paling ketara dalam kalangan millennial berusia antara 25 hingga 34 tahun, dengan 55 peratus berkongsi sentimen yang sama, demikian menurut kaji selidik oleh Randstad.

Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata golongan millennial adalah pemacu perubahan dalam dunia pekerjaan pada hari ini.

Beliau berkata, golongan berkenaan menukar makna dan tujuan bekerja, selain peranan majikan untuk generasi lain juga.

"Daripada hidup dibayangi pekerjaan, mereka mahukan fleksibiliti dan kebebasan untuk menikmati kehidupan di luar kerja.

"Terdapat juga tumpuan lebih besar terhadap kesihatan mental dan keseimbangan kerja-kehidupan dalam kalangan tenaga kerja. Lebih sedikit yang sanggup mengorbankan masa dan kesihatan demi kerja," katanya dalam satu kenyataan.

Randstad, agensi penyelesaian sumber manusia utama dunia, hari ini mengeluarkan keputusan kaji selidik Workmonitor separuh kedua 2022 di Malaysia.

Kaji selidik dua kali setahun itu menggambarkan sentimen dan persepsi terkini pekerja terhadap pasaran pekerjaan domestik.

Satu daripada tiga responden di Malaysia berkata, mereka sanggup menganggur daripada tidak gembira di tempat kerja.

"Kita menghabiskan satu pertiga daripada kehidupan dewasa dengan bekerja, justeru, adalah penting supaya pekerja berpuas hati dan gembira dengan pekerjaan supaya ia berbaloi dengan masa.

"Jika pekerja tidak gembira dengan pekerjaan, ia boleh memberikan kesan terhadap hubungan peribadi kerana mereka mungkin lebih banyak mengadu berbanding menghabiskan masa berkualiti bersama rakan dan keluarga.

"Pemimpin perniagaan memainkan peranan penting untuk mewujudkan persekitaran yang positif dan menyokong supaya memberikan peluang kepada pekerja untuk merealisasikan potensi sebenar supaya mereka menjadi lebih gembira dan lebih produktif di tempat kerja," katanya.

Kaji selidik itu mendapati, 95 peratus responden berkata adalah penting untuk memiliki keseimbangan kerja-kehidupan.

Satu daripada tiga responden telah berhenti kerja kerana tidak fleksibel, dengan sentimen ini paling banyak berlaku dalam kalangan millennial (37 peratus).

Keseimbangan kerja-kehidupan adalah paling penting bagi pekerja Malaysia, dengan sekurang-kurangnya lapan daripada 10 responden berkata penting untuk mempunyai masa kerja yang fleksibel (89 peratus) dan lokasi (86 peratus).

Sementara itu, 43 peratus responden berkata mereka tidak akan menerima tawaran kerja jika syarikat tidak memberikan pilihan untuk bekerja dari jauh.

Hampir separuh (47 peratus) responden berkata mereka tidak akan menerima tawaran kerja jika tidak diberikan pilihan waktu bekerja.

Berita Harian X