Ahad, 14 Ogos 2022 | 12:13pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia bakal berterusan

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia akan berkembang pesat pada suku ketiga selepas mencatatkan pertumbuhan terpantas dalam tempoh setahun pada suku kedua lalu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ia akan dipacu oleh perbelanjaan swasta ketika aktiviti ekonomi diteruskan semula.

"Orang ramai tidak menyedari kekuatan permintaan yang terpendam. Restoran penuh, kesesakan jalan raya kembali, kadar pengangguran jatuh di bawah empat peratus dan kutipan cukai pada separuh pertama jauh mengatasi anggaran kami," katanya dipetik dalam satu temubual bersama Bloomberg.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh luar jangkaan sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 dipacu permintaan domestik yang mantap di tengah-tengah pemulihan pasaran pekerjaan.

Pertumbuhan itu juga lebih kukuh berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2022, sekali gus menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9 peratus.

Tengku Zafrul bagaimanapun berkata, tinjauan akan menjadi lebih mencabar pada 2023 berikutan kebimbangan kemelesetan dalam ekonomi global, khususnya pertumbuhan perlahan di China yang juga rakan dagang terbesar Malaysia dan langkah mengetatkan monetari agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

"Ada beberapa perkara yang di luar kawalan kita. Kami berharap kebimbangan berhubung inflasi di AS akan reda dan China akan menangani langkah COVID-19 yang konservatif," katanya.

Beliau berkata, tekanan inflasi di negara ini dijangka kekal terkawal sebahagiannya disebabkan oleh kawalan harga ke atas barangan makanan dan subsidi bahan api.

"Inflasi kita terkawal berbanding dengan seluruh dunia. Namun, ia datang dengan kos fiskal yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan bergantung kepada pendapatan daripada harga komoditi yang tinggi, kutipan cukai yang mantap, Cukai Makmur ke atas syarikat dan dividen daripada entiti kerajaan termasuk PETRONAS dan Khazanah Nasional Bhd bagi mengimbangi bil subsidi.

"Langkah paling mudah adalah meminjam lebih banyak. Namun, kami komited kepada sasaran fiskal enam peratus daripada KDNK. Defisit kita sebelum pandemik adalah 3.5 peratus. Kita perlu mencapainya," katanya.

Tengku Zafrul menambah, kerajaan boleh membuat lebih banyak pinjaman memandangkan nisbah hutang berbanding KDNK semasa pada 60.4 peratus masih lagi di bawah had statutori hutang 65 peratus.

Berhubung subsidi bersasar, beliau berkata pelaksanaannya adalah secara berperingkat dan selepas mengambil kira keadaan inflasi semasa.

"Kami sedang menguji mekanisme bagi sistem subsidi bahan api bersasar di beberapa stesen minyak. Kami sedang menguji platform, termasuk e-dompet dan berharap akan membawa ke Kabinet menjelang akhir tahun.

"Terserah kepada Kabinet untuk menentukan pelaksanaannya," katanya.

Mengenai mata wang tempatan, Tengku Zafrul menegaskan bahawa ringgit susut berbanding dolar AS sama seperti kebanyakan negara lain.

"Ringgit bukan satu-satunya yang menjadi lemah, walaupun ada pihak yang memutar belit. Selain Bank Negara Malaysia (BNM) memastikan turun naik mata wang tidak keterlaluan, ia bergantung kepada asas ekonomi.

"Kita perlu mengukuhkan (ekonomi) dan ringgit akan mencerminkannya. Data KDNK mengesahkan pemulihan," katanya.

Berita Harian X