Jumaat, 12 Ogos 2022 | 3:12pm
Nor Shamsiah pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2022 - Foto EPA
Nor Shamsiah pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2022 - Foto EPA

Subsidi bersasar sesuai dilaksana ketika inflasi rendah

KUALA LUMPUR: Masa sesuai untuk melaksanakan subsidi bersasar adalah apabila negara tidak berdepan tekanan inflasi yang tinggi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar mesti mengambil kira dua perkara iaitu persekitaran inflasi semasa dan pelaksanaannya mesti dilakukan secara berperingkat.

Katanya, peralihan kepada mekanisme subsidi bersasar akan meningkatkan inflasi tetapi hasil pelaksanaannya memberi manfaat kepada keseluruhan ekonomi.

Gabenor menjelaskan, penjimatan yang diperoleh daripada pelaksanaan subsidi bersasar boleh digunakan untuk mengukuhkan keselamatan jaringan sosial rakyat.

"Pelaksanaan subsidi secara bersasar dan berperingkat akan membantu menguruskan kesan pemansuhan subsidi pukal terhadap ekonomi. Hasil yang kita mahu capai ialah mempunyai pertumbuhan mapan dan insklusif," katanya

pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara suku kedua 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata perbelanjaan subsidi pada tahun ini dijangka mencecah hampir RM80 bilion, jauh lebih tinggi berbanding peruntukan RM31 bilion yang diumumkan menerusi Bajet 2022 pada Oktober tahun lalu.

Tengku Zafrul berkata, pengurusan subsidi yang lebih mampan, usaha pembaharuan ekonomi selain memperkukuhkan daya tahan negara terhadap sebarang kejutan pada masa depan menjadi tumpuan melalui pembentangan Bajet 2023.

Katanya, pembangunan mekanisme subsidi bersasar sedang dalam peringkat awal pengujian dan akan diperluas kepada beberapa kaedah lain membabitkan kawasan bandar dan luar bandar.

Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi dalam negara bagi Jun 2022 meningkat 3.4 peratus berbanding bulan sama tahun lalu dan lebih tinggi berbanding 2.8 peratus pada Mei.

Indeks makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada Jun 2022.

Berita Harian X