Rabu, 10 Ogos 2022 | 5:41pm
BNM berkemungkinan besar menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi bulan depan - Foto fail NSTP
BNM berkemungkinan besar menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi bulan depan - Foto fail NSTP

Ekonomi suku kedua dijangka kukuh, OPR mungkin naik lagi

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar antara 5.3 peratus hingga 8.0 peratus pada suku kedua 2022, sekali gus merintis kemungkinan untuk mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) meneruskan langkah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi membendung kenaikan harga.

Unjuran prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh daripada suku pertama itu disokong oleh beberapa indikator makro ekonomi Malaysia yang kekal positif sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata KDNK negara dijangka terus berkembang ke paras lebih baik pada suku kedua selepas mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus pada suku pertama.

Katanya, pembukaan kegiatan ekonomi domestik yang lebih luas bagi tempoh April hingga Jun 2022 dijangka membolehkan ekonomi negara berkembang sekurang-kurangnya 6.0 hingga 8.0 peratus dalam tempoh April hingga Jun 2022.

"Bermula April, pembukaan sempadan antarabangsa untuk pelancong asing amat membantu menggalakkan kembali pemulihan sektor pelancongan negara.

"Selain itu, pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dengan suntikan tunai ke dalam ekonomi tempatan dan aktiviti domestik lain seperti sambutan Aidilfitri dan cuti sekolah yang panjang memberikan kesan positif dengan peningkatan aktiviti perniagaan dalam sektor seperti pengangkutan, pelancongan, runcit dan makanan.

"Pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga akhir Jun 2022, turut menggalakkan jualan pada suku kedua yang menyaksikan aktiviti dalam sektor automotif rancak," katanya kepada BH.

Aimi Zulhazmi berkata, prestasi ekonomi yang lebih kukuh dijangka menyokong keputusan BNM untuk meneruskan kenaikan OPR bulan depan berikutan kenaikan kadar faedah oleh bank pusat seluruh dunia di negara maju.

"Ia juga dalam usaha BNM menyelaraskan pasaran modal Malaysia seiring dengan kenaikan pasaran bon di AS. Justeru, prestasi KDNK negara suku kedua yang baik pasti menjadi antara sebab yang menyokong kenaikan OPR ini," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi suku pertama dan suku kedua yang dijangka lebih baik, Malaysia berada pada landasan pemulihan yang bagaimanapun mungkin dibayangi dengan kemungkinan kegawatan ekonomi global pada akhir 2022 dan 2023.

"Kesimpulannya pemulihan ekonomi negara masih dikira rapuh dan memerlukan perhatian kerajaan, terutama bagi memastikan penjanaan ekonomi domestik akan berjaya mengimbangi kesuraman ekonomi global," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata KDNK suku kedua 2022 akan mencatatkan sedikit peningkatan kepada sekitar 5.3 peratus.

"Negara berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan ekonomi, namun bakal berdepan situasi global dan domestik yang lebih mencabar sehingga hujung tahun ini dan tahun depan.

"Antara cabarannya ialah Amerika Syarikat (AS) yang mengalami kemelesetan ekonomi, perang tarif AS-China, krisis Russia-Ukraine, pelaksanaan sekatan pergerakan di China, kenaikan inflasi, pilihan raya umum (PRU) dan pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan," katanya.

Mengenai OPR, beliau menjelaskan bahawa BNM kebiasaannya melihat kadar inflasi dan suasana ekonomi semasa apabila membuat keputusan berkenaan penunjuk aras kadar faedah pinjaman tempatan itu.

"Pertumbuhan ekonomi yang terlalu rancak sehingga kadar inflasi menjadi terlalu tinggi boleh menyebabkan BNM meningkatkan kadar OPR. Oleh itu, saya melihat kemungkinan BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi September ini adalah tinggi," katanya.

MIDF Research dalam nota penyelidikan berkata, Malaysia berkemungkinan mencatatkan pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh pada suku kedua tahun ini, dengan jangkaan lebih baik daripada 5.0 peratus.

Ia berkata, jangkaan itu berdasarkan lonjakan kukuh Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada Jun 2022 sebanyak 12.1 peratus, didorong oleh sektor pembuatan dan output elektrik yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, MIDF menyatakan bahawa lonjakan dalam IPI sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada suku kedua 2021 akibat sekatan pergerakan di seluruh negara tahun lalu.

Sementara itu, RHB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 6.1 peratus pada suku kedua memandangkan terdapatnya petunjuk ekonomi yang kukuh.

Mengenai risiko menurun, RHB beranggapan prospek sektor pembuatan mungkin dijejaskan oleh kesan peningkatan tekanan kos dan ketidaktentuan dalam landskap global.

Tekanan inflasi pula meningkat di tengah-tengah kekurangan bahan dan harga komoditi yang tinggi dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR), yang mengukur kos barangan di pintu masuk kilang, kekal meningkat pada pertumbuhan dua angka, walaupun pada momentum yang lebih perlahan.

Berita Harian X