Jumaat, 5 Ogos 2022 | 4:28pm
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - BERNAMA
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - BERNAMA

Malaysia sedia berdepan cabaran ekonomi global tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Persekitaran ekonomi global dijangka amat mencabar tahun pada tahun hadapan dan Malaysia bersedia untuk menilai semula beberapa dasar untuk berdepan situasi berkenaan jika ia berlaku, demikian kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, meskipun ekonomi negara dijangka berkembang kukuh tahun ini, namun perkembangan luaran berisiko untuk mencetuskan kelembapan ekonomi pada tahun depan dan Malaysia sebagai ekonomi terbuka sudah pasti tidak dapat mengelak daripada terkesan.

Katanya, bagi tahun ini, kerajaan kekal positif ekonomi negara akan berkembang 5.3 peratus dan 6.3 peratus berdasarkan prestasi utuh dicatatkan pada suku pertama 2022, dan pertumbuhan dijangka berterusan pada suku kedua dan ketiga.

"Namun, kebimbangan adalah pada 2023. Kita perlu lihat prestasi dunia (ketika itu). Selepas itu saya fikir kita perlu melihat semula beberapa dasar kita, tetapi apa yang penting adalah kita kena bersedia menghadapi kelembapan ekonomi global," katanya dalam temu bual program First Move di CNN bersama Julia Chatterley pada Khamis malam waktu tempatan.

Mengulas dakwaan bahawa Malaysia akan menerima nasib yang sama seperti Sri Lanka, Tengku Zafrul menegaskan, kedudukan negara sama sekali berbeza dengan Sri Lanka memandangkan ekonomi yang pelbagai.

Beliau berkata, Sri Lanka banyak memfokuskan kepada pelancongan, sebaliknya Malaysia adalah pengeksport komoditi, malah rizab antarabangsa negara adalah lebih baik sebanyak AS$106 bilion berbanding Sri Lanka yang hanya AS$3 bilion.

"Nisbah hutang kita kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 60 peratus, Sri Lanka melebihi 100 peratus dan Sri Lanka menghadapi defisit berkembar, kita (Malaysia) tidak.

"Dari segi pinjaman dalam mata wang asing, ia hanya 2.5 peratus daripada jumlah hutang kita, jadi 97.5 peratus daripada pinjaman kita adalah dalam ringgit," katanya.

Mengenai kesan ketegangan geopolitik di Selat Taiwan berikutan latihan ketenteraan China yang berterusan, Tengku Zafrul berkata, Malaysia memantau dengan teliti mengenai kesan situasi itu.

Beliau tidak menolak terdapat risiko kelembapan ekonomi jika ketegangan semakin memuncak, yang mana berpotensi menjejaskan aktiviti perdagangan.

"China sangat penting kepada Malaysia dari segi perdagangan, menjadi rakan dagangan terbesar kami. Terdapat risiko kelembapan [ekonomi] jika itu (ketegangan geopolitik) berlaku.

"Kestabilan serantau adalah penting untuk pemulihan [ekonomi] kita. Semuanya sangat tidak menentu dan kami akan memantau perkara ini dengan teliti," katanya.

Mengulas mengenai inflasi, Tengku Zafrul berkata, kadar inflasi di negara ini adalah terkawal berbanding negara jiran lain dan juga di peringkat global berikutan pemberian subsidi, yang mana ia dijangka mencecah sekitar RM80 bilion.

Beliau berkata, jika tiada subsidi, kadar inflasi negara boleh mencecah 11 peratus.

"Inflasi kita terkawal berbanding dengan jiran dan berbanding dengan apa yang kita lihat di seluruh dunia. Inflasi dijangka antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus.

"Malah, inflasi adalah sekitar 2.5 peratus dalam tempoh enam bulan tahun ini, dan ia sebahagian besarnya disebabkan oleh subsidi besar yang kita perkenalkan," katanya.

Berita Harian X