Khamis, 4 Ogos 2022 | 12:14pm
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin -NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin -NSTP/Asyraf Hamzah

Malaysia sedia penuhi permintaan minyak sawit dari India

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia memenuhi permintaan India untuk minyak sawit memandangkan kemungkinan bekalan tidak menentu dari Indonesia.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata dalam tempoh kurang daripada setahun, pengeluar minyak sawit terbesar dunia, Indonesia telah memperkenalkan beberapa dasar berhubung eksport komoditi itu yang mengakibatkan ketidaktentuan pasaran dan kesukaran kepada negara pengimport seperti India.

Beliau berkata, India adalah antara pengguna minyak sawit terbesar dunia selepas Indonesia dengan tahap penggunaan 8.7 juta tan pada 2021 dan lapan juta tan pada suku pertama 2022.

"Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayur India (IVPA), Sudhakar Desai pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 baru-baru ini, Malaysia telah mengekalkan dasar berkaitan perdagangan minyak sawit secara konsisten, sekali gus memenuhi permintaan India semasa tempoh larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia.

"Sudhakar juga dipetik di dalam media menyatakan bahawa rantaian bekalan Malaysia yang stabil memainkan peranan penting dalam keselamatan minyak makan untuk permintaan India dalam dua bulan lalu.

x

"Kepercayaan India terhadap Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia, sebagai pembekal yang dipercayai telah diperkukuh lagi dengan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara IVPA dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di MIACES 2022 baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuraida berkata, MoU itu secara umumnya bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara India dan Malaysia dalam industri minyak sawit, meningkatkan kerjasama untuk mempromosikan industri minyak sawit India, bertukar maklumat berkaitan usaha kemampanan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) 'tanaman emas' berkenaan.

"Bagi tujuan ini, saya setuju dengan Sudhakar bahawa IVPA dan MPOC mampu menangani isu berkaitan dasar secara dinamik untuk manfaat industri di kedua-dua negara," katanya.

Beliau menjelaskan, IVPA pada masa ini menganggarkan import minyak sawit India dari Malaysia kekal stabil pada separuh kedua 2022, iaitu kira-kira 55 peratus daripada jumlah import minyak sawit India, walaupun Indonesia telah giat mempromosikan eksport komoditi itu kebelakangan ini.

Malah, katanya IVPA meramalkan lonjakan permintaan kepada 800,000 tan sebulan bagi enam bulan akan datang, atau peningkatan kira-kira 20 peratus daripada separuh pertama 2022.

"Keyakinan India terhadap minyak sawit Malaysia adalah tanda keyakinan terhadap 'tanaman emas' negara.

"Kami berharap ini akan menggalakkan lebih banyak pasaran bukan tradisional untuk mula beralih kepada minyak sawit, yang telah terbukti lebih berkhasiat dan lebih mampan berbanding dengan alternatif.

"Dalam hal ini, KPPK (Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi) akan meningkatkan usaha untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, bukan sahaja di India tetapi di seluruh dunia, termasuk pasaran bukan tradisional selaras dengan kempen 'Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit'," katanya.

Berita Harian X