Isnin, 1 Ogos 2022 | 4:49pm
Pengarah Urusan Kumpulan Ireka Corporation Bhd, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail. - NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.
Pengarah Urusan Kumpulan Ireka Corporation Bhd, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail. - NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.

Ireka tinjau pembangunan hartanah butik

KUALA LUMPUR: Ireka Corporation Bhd sedang meninjau untuk memperluaskan aktivti dalam pembangunan hartanah butik dengan konsep yang khusus, selain pembangunan rumah mampu milik.

Pengarah Urusannya, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail, berkata syarikat itu mempunyai kepakaran dan rekod cemerlang dalam pembangunan hartanah sederhana dan mewah.

Selain itu katanya, bagi segmen pembinaan pula, pihaknya berminat untuk menyertai projek MRT3, pembinaan jalan raya di Sabah dan Sarawak dan juga di seluruh Malaysia, serta pembinaan jambatan, yang mana ia mempunyai pengalaman dan kepakaran.

"Sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan Ireka, pengurusan baharu juga ingin untuk mulakan dalam masa terdekat membina kampus sekolah, yang mana ia akan membina, memajak dan memindahkan bagi memastikan kestabilan dalam pendapatan kumpulan," katanya kepada BH.

Ireka juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan penyedia pendidikan bersaiz sederhana, tambah beliau.

Mengenai kedudukan Aseana Properties Limited, yang mana Ireka adalah pemegang saham terbesar sebanyak 23.07 peratus, Mohd Hasnul berkata, pihaknya melihat Aseana sebagai aset bernilai syarikat.

Beliau berkata, secara dalaman, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk memanfaatkan lagi pelaburan dalam syarikat yang disenaraikan dalam Pasaran Utama, Bursa Saham London (LSE) itu.

Katanya, apa yang ingin dilakukan pihaknya adalah membawa pelaburan dalam Aseana ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd (IECSB), anak syarikat Ireka telah mengemukakan permohonan untuk pengurusan perundangan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memulih dan mengukuhkan kedudukan kewangannya serta kumpulan secara keseluruhan.

Ireka berkata, permohonan itu adalah sebahagian daripada rancangan komprehensif oleh pengurusan baharu dalam usahanya mengembalikan keuntungan dalam jangka masa sederhana.

Langkah itu, katanya menekankan beberapa objektif untuk memastikan hutang sedia ada dapat diselesaikan selain kesinambungan projek sedia ada untuk menjana pendapatan serta mengehadkan potensi kelewatan dan kos yang ditanggung akibat kelewatan projek di bawah IECSB.

Berita Harian X