Isnin, 1 Ogos 2022 | 11:02am
Pengarah Urusan Kumpulan Ireka Corporation Bhd, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail. - NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.
Pengarah Urusan Kumpulan Ireka Corporation Bhd, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail. - NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.

Ireka terus catat kemajuan usaha pemulihan

KUALA LUMPUR: Ireka Corporation Bhd, yang kini dengan pengurusan baharu yang diterajui oleh Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail, sedang giat melaksanakan pelan pemulihannya untuk keluar daripada status klasifikasi Nota Amalan 17 (PN17).

Ia sekali gus akan meletakkan syarikat itu pada landasan yang lebih kukuh dari segi kedudukan kewangannya dan bersedia meraih peluang pertumbuhan yang berterusan.

Ireka, yang diasaskan oleh Datuk Lai Siew Wah adalah syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia dan terbabit dalam pembinaan dan hartanah.

Mohd Hasnul ialah Pengasas Bersama dan Pengerusi Shoraka Group of Companies serta Rakan Kongsi Shoraka Advisory Services, Dubai.

Beliau yang kini menjadi Pengarah Urusan syarikat pembinaan dan hartanah itu berkata, pelan pemulihan syarikat pembinaan dan hartanah terkemuka tempatan itu berjalan lancar dan pada masa ini sekurang-kurangnya 40 peratus daripada apa yang dirancangkan sudah dicapai.

Ia, katanya, dicerminkan oleh kedudukan lembaran imbangan yang lebih kukuh berbanding sebelum ini dengan dana baharu berjumlah hampir RM95 juta.

Beliau berkata, dari segi saiz kontrak pula telah meningkat tiga kali ganda kepada sehingga RM1.2 bilion berbanding RM270 juta sebelum ini.

Malah, katanya, Ireka juga telah memantapkan sumber manusianya dengan tenaga kerja yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk membawa syarikat ke peringkat selanjutnya.

"Kami telah meningkatkan modal dan menambah dana melalui aktiviti penjanaan dana termasuk penempatan persendirian, dengan dana baharu kini berjumlah hampir RM95 juta. Kami akan gunakan dana ini untuk membiayai projek sedia ada dan membayar pinjaman dan hutang serta memantapkan sumber manusia kami.

"Apa yang penting kini adalah membina semula lembaran imbangan kami. Contohnya, pinjaman bank setinggi lebih RM60 juta kini dikurangkan kepada RM20 juta, yang mana ini mencerminkan kekuatan kewangan kami.

"Kami dalam proses pemulihan syarikat. Kami sedang hampir memuktamadkan pelan penyusunan semula untuk keluar dari PN17 dan dijangka dibentangkan pada September ini.

"Semua usaha berjalan lancar dan kami berharap dapat keluar (PN17) pertengahan tahun depan," kata Mohd Hasnul yang mempunyai pengalaman luas lebih 25 tahun dalam pengurusan dana, perbendaharaan dan penasihat kewangan di rantau ASEAN dan Asia Barat dan Afrika Utara (MENA)," katanya dalam satu temubual bersama BH dan NST baru-baru ini.

Menuju ke depan, fokus Ireka masih dalam pembinaan dan hartanah memandangkan dua segmen itu adalah kekuatan syarikat itu sejak penubuhannya dan ia mempunyai pengalaman dan rekod yang tersendiri dalam bidang berkenaan.

Mohd Hasnul berkata, selain meraih projek baharu dan meninjau peluang dalam pembinaan dan hartanah, Ireka juga akan mempelbagaikan kehadirannya dalam segmen perniagaan lain seperti teknologi dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

"Sudah pasti kami meninjau peluang baharu. Kami melihat peluang yang mudah direbut dalam pembinaan dan pembangunan hartanah seperti pembangunan rumah mampu milik, yang mana dalam tempoh setahun ini, kami menambah lebih RM700 juta projek rumah mampu milik.

"Kami mempunyai projek rumah mampu milik di Terengganu menerusi kerjasama dengan Kerajaan Negeri. Kami juga sedang meninjau projek rumah mampu milik di Pahang dan Kelantan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hasnul berkata, dalam segmen pembangunan hartanah, Ireka bercadang mengembangkan kehadirannya menerusi jalinan usaha sama dengan pihak ketiga sama ada ia membabitkan Kerajaan Negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta berbanding meningkatkan saiz simpanan tanahnya.

Beliau berkata, pihaknya melihat mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah menerusi usaha sama dengan pihak ketiga boleh memberi penjimatan kos pemilikan tanah kepada syarikat dan ia sejajar dengan strategi memantapkan kedudukan kewangannya.

Berita Harian X