Jumaat, 29 Julai 2022 | 10:32am
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Ekonomi Malaysia tidak berdepan risiko kemelesetan - Gabenor BNM

KUALA LUMPUR: Risiko Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi tidak wujud pada masa ini meskipun kemungkinan pertumbuhan lebih perlahan telah meningkat pada peringkat global, tegas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, pada penilaian BNM, asas ekonomi negara semakin bertambah baik dan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dijangka terus kukuh berdasarkan beberapa faktor seperti prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada suku pertama 2022, peningkatan perbelanjaan swasta, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan kedudukan luaran Malaysia kekal berdaya saing terhadap kejutan luaran.

Pada suku pertama 2022, ekonomi negara berkembang 5.0 peratus, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 3.6 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2021.

Gabenor bank pusat menjelaskan, prestasi pertumbuhan KDNK suku pertama mengukuhkan lagi penilaian BNM bahawa pertumbuhan berada pada landasan pemulihan yang baik, meskipun adanya konflik geopolitik dan peningkatan kes Omicron.

"Tambahan lagi, tahap KDNK suku pertama telah melepasi paras pra-pandemik. Apabila ekonomi dibuka semula, permintaan dalam negeri terus bertambah baik diiringi dengan eksport Malaysia yang terus berkembang," katanya kepada BH dalam satu temubual menerusi emel bagi mengulas mengenai prestasi ekonomi negara.

Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan ekonomi negara juga dijangka disokong oleh peningkatan perbelanjaan sektor swasta berikutan keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan untuk isi rumah dan perniagaan.

Beliau berkata, sebagai contoh, kadar pengangguran Malaysia telah jatuh di bawah 4.0 peratus buat pertama kali sejak Mac 2020 kepada 3.9 peratus pada Mei 2022.

Katanya, upah sektor swasta juga bertambah baik dan dijangka akan terus disokong oleh peningkatan gaji minimum yang berkuat kuasa pada Mei.

Gabenor berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa akan memacu aktiviti pelancongan, yang mana pada 21 Jun lalu, Malaysia telah melepasi sasaran dua juta ketibaan pelancong asing.

Pada masa yang sama, beliau berkata, terdapat peningkatan aliran penumpang di lapangan terbang sejak Oktober 2021, dengan peningkatan yang berkali ganda baru-baru ini antara bulan Januari hingga April 2022 berbanding dengan tempoh yang sama pada 2021.

Di samping itu, Nor Shamsiah berkata, kedudukan luaran Malaysia kekal berdaya tahan terhadap kejutan luaran disokong oleh kedudukan aset luaran bersih negara yang berterusan sejak suku pertama 2020.

Beliau berkata, rizab antarabangsa adalah memadai untuk memudahkan transaksi antarabangsa, iaitu mencukupi untuk membiayai 5.8 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Katanya, ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada 2022, dengan unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

"Pertumbuhan akan didorong oleh permintaan dalam negeri yang semakin kukuh dan permintaan luaran yang dijangka terus berkembang.

'Ekonomi akan disokong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah dan perniagaan berikutan peralihan ke fasa endemik. Pelbagai data menunjukkan aktiviti ekonomi semakin rancak. Ini termasuklah data guna tenaga, perbelanjaan isi rumah, pengeluaran perindustrian serta perdagangan borong dan runcit," katanya.

Nor Shamsiah menambah, pembukaan semula sempadan antarabangsa, keadaan pasaran pekerja yang lebih baik dan pelaksanaan projek pelaburan menjangkau beberapa tahun ke hadapan juga akan meningkatkan kegiatan ekonomi.

Pada masa yang sama, jelasnya, prestasi eksport yang menggalakkan yang dicatatkan sejak awal tahun 2022 akan terus disokong oleh permintaan tinggi produk teknologi, pemulihan pengeluaran komoditi secara beransur-ansur dan harga komoditi yang lebih tinggi.

"Walau bagaimanapun, BNM kekal berwaspada kepada risiko dan ketidakpastian di dalam prospek pertumbuhan ekonomi global yang boleh membawa kesan negatif kepada ekonomi domestik .

"Risiko ini termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang berlarutan," katanya.

Berita Harian X