Jumaat, 15 Julai 2022 | 5:06pm
Gambar fail. - NSTP/GHAZALI KORI
Gambar fail. - NSTP/GHAZALI KORI

Harga keluli naik 25 peratus, simen 12.8 peratus

KUALA LUMPUR: Harga keluli telah meningkat 25.2 peratus kepada RM3,901.81 satu tan pada Jun 2022, sementara harga simen pula meningkat 12.8 peratus kepada RM21.05 bagi beg 50 kilogram, demikian kata MIDF Research.

Firma penyelidik tempatan itu berkata, berdasarkan perangkaan yang dikumpulkannya menunjukkan purata harga keluli meningkat 19 bulan berturut-turut sejak Disember 2020 kepada RM3,901.81 satu tan pada Jun 2022.

Namun, jika dibandingkan bulan ke bulan, ia menjelaskan, peningkatan harga keluli itu dilihat kecil iaitu sekitar 0.23 peratus berbanding antara 0.68 peratus dan 9.52 peratus dari Disember 2020 hingga Mei 2022, sekali gus mencadangkan harga keluli sudah mencapai paras puncak dan harga mungkin mula menyederhana dalam tempoh terdekat dengan andaian tidak ada lagi gangguan rantaian bekalan.

"Semakan saluran kami menyokong teori ini, yang mana harga terkini sejak itu sederhana ke paras sekitar RM2,900 hingga RM3,500 setiap tan. Sementara pada Disember 2020, harga purata satu tan ialah RM2,737.87, yang bermakna terdapat peningkatan 42.5 peratus atau RM1,163.94 pada Jun 2022.

"Ketika pra-COVID, harga keluli secara puratanya adalah sekitar RM2,600 hingga RM2,900 setiap tan. Ia melepasi paras RM3,000 adalah empat tahun lalu pada April 2018 dan Mei 2018 masing-masing pada RM3,018.05 dan RM3,013.57," katanya dalam nota penyelidikannya.

Bagi harga simen pula, MIDF Research berkata, harga bahan mentah pembinaan itu mencatatkan peningkatan untuk 15 bulan berturut-turut kepada RM21.05 bagi beg 50 kilogram pada Jun 2022.

Ia berkata, sama seperti harga keluli, harga simen juga mencatatkan peningkatan kecil dari bulan ke bulan sebanyak 0.29 peratus.

"Purata harga simen bagi setiap beg 50 kilogram hanya mencecah paras melebihi RM20 pada Mac 2022. Ketika pra-COVID, ia purata sekitar RM18 hingga RM19," katanya.

MIDF Research berkata, pihaknya mengulangi pandangannya sebelum ini bahawa ia tidak terlalu bimbang mengenai masalah harga bahan mentah binaan itu menjadi risiko besar kepada syarikat di bawah liputan penyelidikannya kerana mereka masih mampu mengurangkan impak.

Ia berkata, langkah perlindungan marjin seperti klausa variasi harga, membolehkan sebahagian kos tambahan dilepaskan kepada pelanggan.

"Walaupun jika elemen sedemikian tidak tersedia, beberapa kontrak mungkin mengambil kira potensi kos inflasi atau rundingan dibuat dengan pelanggan untuk meletakkan penampan besar terhadap kemungkinan kenaikan harga.

"Melainkan harga bahan binaan terus meningkat dengan ketara, pemain industri, walaupun syarikat yang lebih besar, telah menunjukkan bahawa impaknya adalah minimum kepada marjin dan sejak semakan saluran kami menunjukkan bahawa harga keluli telah mula berkurangan. Kami percaya ini akan menjadi petanda baik bagi syarikat di bawah liputan kami," katanya.

Berita Harian X