Selasa, 12 Julai 2022 | 3:22pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyampaikan ucapatama pada majlis pelancaran platform i-Lindung oleh KWSP di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Rohanis Shukri
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyampaikan ucapatama pada majlis pelancaran platform i-Lindung oleh KWSP di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Rohanis Shukri

Cukai Makmur ringankan beban kewangan kerajaan

KUALA LUMPUR: Kutipan Cukai Makmur yang dikenakan sekali saja bagi 2022 dijangka membantu meringankan beban perbelanjaan kerajaan di tengah-tengah kenaikan tanggungan subsidi, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan masih menanggung kos subsidi meskipun ia meningkat dan pada masa sama, hasil kerajaan turut meningkat sedikit, dengan Cukai Makmur yang diumumkan dalam Bajet 2022 dilihat membantu.

Katanya, kerajaan mempunyai dua cara untuk meningkatkan hasil kerajaan dengan salah satunya adalah meningkatkan kadar cukai, langkah yang sangat tidak sesuai memandangkan ekonomi masih lagi dalam proses pemulihan.

"Walaupun ekonomi dijangka berkembang dengan lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lalu, untuk memperkenalkan sistem cukai yang baharu, saya merasakan adalah masa yang tidak betul. Kita kena tunggu ekonomi berkembang ke tahap yang lebih stabil.

"Jadi, cara kedua yang boleh diguna pakai adalah mempertingkatkan hasil ekosistem kerajaan dengan salah satu caranya adalah memperkukuhkan kawalan kos dan juga langkah untuk mendapatkan lebih hasil daripada agensi.

"Cukai Makmur ada dapat menolong sedikit. Kita akan dapat angka terkini mungkin bulan depan. Kita baru kaji hujung Jun lalu, tetapi nampaknya, ia seperti jangkaan. Seperti saya sebut dalam Bajet 2022, kita tidak faktorkan hasil Cukai Makmur dalam hasil kerajaan. Jadi itu adalah satu lagi penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran platform i-Lindung oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan menganggarkan untuk memperoleh kutipan sekurang-kurangnya RM3 bilion melalui pelaksanaan Cukai Makmur yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, paras hutang semasa masih di bawah paras 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kerajaan setakat ini tidak bercadang untuk menaikkan lagi paras hutang statutori.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata bahawa unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022, jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Beliau berkata, unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

Katanya, unjuran subsidi untuk 2022 itu adalah jika harga bersubsidi serta harga pasaran minyak, arang batu dan komoditi lain kekal pada paras semasa.

"Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion), jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah RM77.3 bilion bagi 2022," katanya.

Berita Harian X