Selasa, 12 Julai 2022 | 10:47am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

OPR dijangka naik 0.5 peratus lagi tahun ini - Fitch Solutions

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) lagi kepada 2.75 peratus menjelang akhir tahun ini dalam usaha membendung inflasi dan menstabilkan ringgit, demikian mengikut Fitch Solutions.

Ia selepas bank pusat itu menaikkan kadar rujukan penetapan pinjaman dan tabungan itu sebanyak 25 bps atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus pada awal bulan ini.

Mengikut Fitch Solutions, walaupun inflasi kekal terkawal di negara ini berbanding beberapa negara lain susulan campur tangan kerajaan, namun ringgit kekal tertekan dengan risiko penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang mana akan menyebabkan bank pusat menaikkan kadar faedah ke paras normal yang akomodatif.

"Ekonomi kekal di landasan untuk mencatat pemulihan yang kukuh. Ia sepatutnya menyediakan ruang perubahan yang mencukupi kepada bank pusat untuk menormalkan dasar monetarinya.

"Kami menjangkakan BNM akan menaikkan lagi kadar dasarnya sebanyak 50 bps kepada 2.75 peratus menjelang akhir 2022, selepas ia meningkat sebanyak 25 bps kepada 2.25 peratus pada mesyuaratnya pada 6 Julai lalu," katanya dalam satu nota penyelidikannya baru-baru ini.

Fitch Solutions menambah, di sebalik persekitaran inflasi yang tidak baik, pihaknya menjangkakan BNM akan mengetatkan lagi dasar monetari dalam beberapa bulan akan datang untuk mengekalkan kestabilan mata wang.

"Ringgit telah melemah hampir 6.0 peratus berbanding dolar AS setakat 7 Julai ini untuk tahun ini, dan sebanyak 4.8 peratus dalam tiga bulan terakhir sahaja.

"Susut nilai ringgit didorong terutamanya oleh kekukuhan dolar yang meluas hasil daripada tindakan agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) yang telah menaikkan kadar faedah sebanyak 150 bps secara terkumpul sejak awal tahun," katanya.

Tambahnya, pada separuh kedua 2022 ini, pihaknya menjangkakan Fed akan menaikkan sebanyak 150 bps lagi yang akan menjadikan julat sasaran kadar dananya kepada 3.00 peratus hingga 3.25 peratus menjelang akhir 2022.

"Kami tidak menjangkakan BNM akan meningkatkan kadar faedahnya seiring kadar oleh Fed kerana lebihan akaun semasa Malaysia sepatutnya boleh memberikan sedikit sokongan.

"Bagaimanapun, perbezaan kadar faedah sebenar yang semakin kecil berbanding AS masih akan menyebabkan turun naik ketara bagi ringgit, yang mana kami percaya bahawa BNM akan cuba elakkan," katanya.

Fitch Solutions berkata, risiko kepada ramalan kadar faedah mereka adalah seimbang.

"Sebaliknya, lonjakan inflasi di Malaysia boleh mendorong BNM untuk mempercepatkan kitaran kenaikan kadar pada 2022 bagi memastikan kadar faedah sebenar yang positif dan membina semula penampan dasar untuk seiring dengan pengetatan dasar monetari global.

"Kontingensi ini menjadi lebih berkemungkinan jika bank pusat utama lain mempercepatkan kitaran kenaikan kadar mereka. Pada sisi negatifnya, masih terdapat kemungkinan satu lagi kejutan negatif kepada ekonomi daripada kemunculan varian lain COVID-19 yang membimbangkan.

"Tambahan pula, terdapat juga risiko penurunan pertumbuhan yang berpunca daripada peningkatan lanjutan perang Russia-Ukraine dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk," katanya.

Berita Harian X