Selasa, 12 Julai 2022 | 10:44am
Ladang kelapa sawit.
Ladang kelapa sawit.

Harga sawit mampu bertahan atas paras RM4,000 tahun ini

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) mampu untuk kekal berada di atas paras RM4,000 satu tan untuk tahun ini selepas mengalami kejatuhan mendadak pada bulan ini.

Harga komoditi utama negara itu yang mencatat paras tertinggi melebihi RM7,200 satu tan pada pertengahan Mei lalu, telah susut lebih 40 peratus, untuk berada pada 4,157 satu tan pada Jumaat lalu.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa, berkata kejatuhan harga komoditi itu sebelum ini adalah disebabkan oleh lambakan bekalan global selepas Indonesia menarik larangan eksportnya.

"Saya rasa terdapat permintaan yang baik untuk pembelian murah dan selepas semua faktor penurunan harga diambilkira, niaga hadapan MSM boleh bertahan melebihi RM4000 setiap tan tahun ini.

"Malah, dengan laporan terkini mengatakan Indonesia mahu melaksanakan campuran sawit biodiesel sebanyak 35 peratus pada akhir bulan ini juga dijangka mampu mendorong harga MSM lebih tinggi," katanya kepada BH, hari ini.

CNBC Indonesia hari ini melaporkan kerajaan republik itu menyasarkan untuk melaksanakan 35 peratus campuran minyak sawit dalam biodiesel, dikenali sebagai B35, menjelang akhir bulan ini untuk membantu menyerap lebihan bekalan minyak sawit, yang memetik pegawai kanan kementerian tenaga Dadan Kusdiana.

Indonesia ketika ini melaksanakan 30 peratus campuran mandatori bahan api berasaskan minyak sawit dalam biodiesel dan kerajaan telah mempertimbangkan untuk menaikkannya kepada 35 peratus atau 40 peratus untuk menyokong harga buah kelapa sawit tempatan.

Sementara itu Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata kejatuhan mendadak harga komoditi itu berpunca daripada tindakan Indonesia membenarkan eksport secara besar-besaran bagi mengurangkan stok mereka yang amat tinggi.

Katanya, tindakan kerajaan Indonesia melaksanakan penarikan semula larangan eksport terhadap minyak sawit pada 23 Mei 2022 dan mengurangkan kadar levi untuk eksport MSM kepada AS$200 satu tan daripada AS$375 satu tan bermula 14 Jun 2022 sehingga 31 Julai 2022 telah menyumbang kepada lambakan minyak sawit di pasaran dunia.

"Tindakan ini dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia bagi meningkatkan eksport minyak sawitnya dan seterusnya mengurangkan masalah lambakan stok minyak sawit yang tinggi di dalam negara. Sentimen pasaran ini juga telah turut menyumbang kepada penurunan harga MSM di pasaran ketika ini.

"Kejatuhan ini juga mungkin disebabkan oleh sikap tunggu dan lihat pembeli yang mengharapkan harga akan terus turun.

"Namun, dijangkan harga mungkin akan naik semula ke paras lebih stabil dalam masa terdekat. Kita menjangkakan harga MSM ini akan diniagakan pada paras RM4,500-RM5,000 satu tan pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X