Isnin, 4 Julai 2022 | 4:42pm
Subsidi bahan api dijangka mencecah RM37 bilion tahun ini - Foto hiasan
Subsidi bahan api dijangka mencecah RM37 bilion tahun ini - Foto hiasan

Kerajaan mampu tanggung subsidi RM80 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mampu menanggung kos subsidi yang lebih tinggi pada tahun ini susulan anggaran pemerolehan pendapatan yang besar daripada minyak dan gas , kutipan Cukai Makmur serta jangkaan dividen daripada PETRONAS.

Perbelanjaan subsidi pada tahun ini dijangka mencecah hampir RM80 bilion yang menjadi jumlah subsidi terbesar dalam sejarah, yang mana jauh lebih tinggi berbanding peruntukkan RM31 bilion yang diumumkan menerusi Bajet 2022 pada Oktober tahun lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias, berkata tanggungan subsidi adalah di bawah perbelanjaan operasi kerajaan yang hanya boleh dibiayai menggunakan hasil kutipan cukai dan selain cukai, bukan menerusi pinjaman atau hutang.

Beliau berkata, kutipan hasil bagi tahun ini dijangka lebih tinggi memandangkan kerajaan meraih manfaat daripada pengukuhan harga komoditi seperti minyak mentah yang melepasi AS$100 setong, lebih tinggi berbanding AS$66 setong yang disasarkan dalam Bajet 2022.

"Subsidi bahan api saja dijangka mencecah RM37 bilion tahun ini berbanding RM4 bilion sebelumnya. Separuh daripada subsidi bahan api dijangka dibiayai oleh pendapatan berkaitan minyak dan gas dan separuh lagi daripada dividen PETRONAS.

"PETRONAS juga akan menjadi antara syarikat yang menyumbang kepada kutipan Cukai Makmur yang tinggi," katanya pada taklimat media secara maya mengenai Tinjauan Pasaran Malaysia bagi Separuh Kedua 2022, semalam.

Mengenai prestasi ekonomi Malaysia bagi keseluruhan 2022, Suhaimi berkata, pihaknya mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar negara ini sebanyak enam peratus berikutan pembukaan semula ekonomi termasuk pembukaan sempadan antarabangsa 1 April 2022 dan pusingan keempat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, pertumbuhan lebih pantas dijangka pada suku kedua 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan lima peratus pada suku pertama 2022 serta rangsangan kesan asas pada suku ketiga 2022 bagi KDNK benar berikutan penguncupan 3.5 peratus pada suku ketiga 2021.

Namun, katanya, ekonomi negara ini dijangka berdepan 'sindrom pengeluaran' pada suku keempat dan 2023 berikutan kenaikan kadar faedah.

"Dijangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 50 mata asas kepada 2.50 peratus pada separuh kedua 2022 selepas kenaikan 25 mata asas kepada 2.00 peratus pada Mei 2022, dengan kenaikan selanjutnya sebanyak 50 mata asas kepada 3.00 peratus pada 2023.

"Kami juga jangka kadar inflasi lebih pantas iaitu 3.4 peratus pada 2022 dan 4.1 peratus pada 2023," katanya.

Sementara itu, Ketua Serantau Penyelidikan Ekuiti Maybank Investment Bank, Anand Pathmakanthan, berkata pihaknya telah membuat semakan semula bagi unjuran indeks penanda aras, Indeks FBM KLCI kepada 1,500 mata hujung tahun ini berbanding 1,710 mata sebelum ini berikutan kadar inflasi dan kadar faedah yang tinggi serta ketidaktentuan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.

Berita Harian X