Selasa, 28 Jun 2022 | 12:04pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed -NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed -NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Agensi penarafan yakin usaha pemulihan Malaysia

KUALA LUMPUR: Semakan semula prospek penarafan kredit berdaulat jangka panjang Malaysia kepada 'stabil' daripada 'negatif' oleh S&P Global Ratings membuktikan keyakinannya terhadap usaha-usaha konsolidasi fiskal dan memperkasa pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran, Malaysia masih mampu mengekalkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan.

"Ini dialu-alukan dan satu pengiktirafan kepada ketepatan dasar-dasar kita yang telah dilaksanakan di tengah-tengah pelbagai cabaran dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu, ketidakpastian ekonomi dunia serta tekanan inflasi di banyak negara.

"Di masa hadapan, sudah pasti kita akan menghadapi keadaan yang terus mencabar tetapi dengan kemampuan yang ada, kita yakin kita akan dapat menguruskan negara sebaik mungkin untuk memastikan nasib rakyat Malaysia terbela,'' katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia (WDETS) di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam berkata S&P menyemak semula prospek penarafan Malaysia berikutan ia percaya negara berada pada landasan pemulihan ekonomi yang kukuh berbanding negara lain pada tahap pendapatan yang sama.

S&P mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang 6.1 peratus pada tahun ini dan 5.0 peratus pada 2023 disokong oleh eksport yang kukuh, harga komoditi dan permintaan domestik yang tinggi berikutan pembukaan semula ekonomi.

Selain itu, S&P turut menyatakan pihaknya mungkin menaikkan penarafan ke atas Malaysia jika hasil fiskal mengatasi unjurannya.

-BERNAMA

Berita Harian X