Selasa, 21 Jun 2022 | 12:24pm
Pengerusi MTC, Norrida Yusoff (enam dari kanan) bersama Lembaga Pemegang Amanah MTC, Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili (kiri) dan pegawai dari Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Majlis Pensijilan Kayu Malaysia.
Pengerusi MTC, Norrida Yusoff (enam dari kanan) bersama Lembaga Pemegang Amanah MTC, Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili (kiri) dan pegawai dari Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Majlis Pensijilan Kayu Malaysia.

MTC kembali anjur ekspo perkayuan pada November ini

KUALA LUMPUR: Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) akan kembali menganjurkan Ekspo Perkayuan Malaysia (MWE) 2022 selepas dua tahun tidak mengadakannya akibat pandemik COVID-19.

MWE 2022 akan diadakan dari 20 hingga 22 November tahun ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).Pengerusi MTC, Norrida Yusof, berkata pihaknya menjangkakan jumlah pembeli antarabangsa serius yang tinggi yang akan meningkatkan peluang perniagaan yang saksama untuk peserta pameran.

"Segala-galanya bertambah sekali ganda, daripada ruang lantai pameran kepada inisiatif yang disediakan untuk menjadikan ekspo ini satu kejayaan yang memberangsangkan dan menguntungkan peserta pameran perdagangan kami.

"Saya yakin industri akan mendapati yang penyertaan mereka akan membuahkan hasil yang lumayan kerana saya difahamkan terdapat rancangan untuk melaksanakan program pembeli yang kukuh bagi membantu menjana perniagaan untuk pempamer," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada jamuan makan tengah hari dan taklimat media mengenai MWE 2022 di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

MWE 2022 bertujuan untuk meningkatkan industri di tengah-tengah endemik, dengan pameran perdagangan itu bersedia untuk memberi inspirasi dengan penyelesaian baharu dan peluang yang lebih besar untuk mendapatkan sumber yang terkini dalam industri berasaskan kayu.

Pameran perdagangan itu akan mempamerkan antara lain bahan mentah dan produk kayu seperti lantai kayu, acuan, pintu, bingkai tingkap dan pintu, produk panel, palet kayu serta mesin kerja kayu dan alat pemotong, bahan pelelas, pelekat, salutan, peralatan berkaitan kayu, bahan, dan perisian pengeluaran perabot.

Dalam edisi yang diadakan pada 2019, ekspo itu meraih banyak kejayaan dengan lebih 60 peratus pempamernya dari luar negara, sebahagian daripada mereka telah menjual jentera mereka pada hari pertama pameran itu.

Sementara itu Muhtar berkata, biarpun pihaknya menyasarkan RM25 juta dalam MWE 2019, namun mereka berjaya memperoleh RM140 juta dalam jualan.

"Kami berharap untuk melakukan lebih baik pada tahun ini kerana ramai pelabur dan pemilik perniagaan kini sudah tidak khuatir dengan pandemik ini dan bersiap sedia untuk mengadakan lebih banyak urusan perniagaan secara bersemuka di pameran perdagangan ini.

"MTC juga menjangkakan lebih ramai pengimport untuk menyertai program padanan perniagaan, khususnya Misi Pembelian Masuknya.

"Pada 2019, Misi Pembelian Masuk, yang dijalankan dengan kerjasama MATRADE, menjana jualan RM118.93 juta," katanya.

Tambahnya, untuk menggalakkan penyertaan dalam MWE 2022, MTC akan menyediakan insentif kepada pembeli tempatan yang membeli jentera, peralatan Kawalan Pencemaran Udara (APC) dan bahan mentah.

"Begitu juga, MATRADE akan menawarkan Geran Pembangunan Pasarannya kepada pempamer tempatan," katanya.

Berita Harian X