Jumaat, 17 Jun 2022 | 12:34pm
FDI terkumpul di Malaysia mencatatkan nilai yang lebih tinggi sebanyak RM788.8 bilion - Foto Reuters
FDI terkumpul di Malaysia mencatatkan nilai yang lebih tinggi sebanyak RM788.8 bilion - Foto Reuters

Malaysia terima pelaburan asing RM48.1 bilion tahun lalu

PUTRAJAYA: Pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia merekodkan aliran masuk bersih RM48.1 bilion pada 2021 berbanding RM13.3 bilion pada tahun sebelumnya, manakala pelaburan langsung Malaysia di luar negeri (DIA) mencatatkan RM19.7 bilion berbanding RM10.2 bilion pada 2020.

Sehingga akhir 2021, FDI terkumpul di Malaysia mencatatkan nilai yang lebih tinggi sebanyak RM788.8 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata aktiviti ekonomi mulai pulih secara perlahan-lahan selepas terkesan daripada pandemik COVID-19.

Beliau berkata, berdasarkan Laporan Pelaburan Dunia oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), aliran FDI ke negara-negara membangun di Asia meningkat

sebanyak 19 peratus iaitu AS$619 bilion pada 2021.

"Oleh yang demikian, pelaburan asing ke Malaysia pada 2021 meningkat untuk mencatatkan RM48.1 bilion, tertinggi sejak 2016," katanya dalam satu kenyataan diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Mengulas prestasi FDI mengikut sektor, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan mengembang sebanyak RM22.5 bilion untuk merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM29.5 bilion yang menyumbang kepada aliran masuk terbesar dalam FDI.

Beliau menambah, sektor pembuatan menarik 61.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan, terutama dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

"Sementara itu, perkhidmatan adalah penyumbang kedua tertinggi terutama dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan yang menerimanya dalam bentuk ekuti dan dana pelaburan saham," katanya.

Beliau berkata, rantau Asia kekal menjadi sumber utama FDI di Malaysia bagi 2021 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM22.5 bilion, kebanyakannya diterima dari Singapura, Jepun dan Korea Selatan yang berjumlah RM17 bilion.

"Rantau Asia juga menjadi sumber utama kedudukan FDI dengan nilai sebanyak RM413.1 bilion, diikuti oleh Eropah pada RM207.7 bilion dan Amerika pada RM153 bilion pada akhir 2021," katanya.

Pada akhir 2021, kedudukan FDI telah meningkat sebanyak RM103.9 bilion

untuk mencatatkan nilai RM788.8 bilion.

Sektor perkhidmatan adalah penerima terbesar pada 49.2 peratus atau RM388.4 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong runcit.

Ini diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi sebanyak 42.2 peratus daripada keseluruhan FDI, terutama dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

Mohd Uzir berkata, seperti mana prestasi FDI, aliran DIA meningkat sebanyak RM9.5 bilion untuk merekodkan RM19.7 bilion disebabkan oleh pelaburan yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Katanya, sektor pembuatan memintas perkhidmatan sebagai sektor utama bagi DIA, menyumbang 40.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan terutama dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain

pembuatan.

"Sementara itu, sektor perkhidmatan menyumbang 30.3 peratus teutama dalam aktiviti kewangan.

"Eropah kekal sebagai rantau utama bagi aliran DIA pada 2021 dengan sumbagan sebanyak 54.9 peratus terutama ke Belanda dan United Kingdom.

"Secara keseluruhannya, pelaburan ini kebanyakannya disalurkan ke Belanda, Kanada dan Indonesia," katanya.

Berita Harian X