Jumaat, 10 Jun 2022 | 4:23pm
Stok minyak sawit mentah Malaysia berjumlah 829,855 tan pada Mei 2022 - Foto hiasan
Stok minyak sawit mentah Malaysia berjumlah 829,855 tan pada Mei 2022 - Foto hiasan

Stok minyak sawit negara berkurangan

KUALA LUMPUR: Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia bagi Mei 2022 jatuh 7.03 peratus kepada 829,855 tan daripada 892,596 direkodkan pada bulan sebelumnya, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Inventori sawit diproses jatuh 7.77 peratus bulan ke bulan kepada 691,911 tan daripada 750,215 tan, katanya.

"Secara keseluruhan, stok minyak sawit merosot 7.37 peratus kepada 1.52 juta tan daripada 1.64 tan sebelumnya.

"Bagi pengeluaran, output MSM susut sebanyak 0.07 peratus kepada 1.461 juta tan berbanding 1.462 juta tan pada April," kata MPOB dalam laporan prestasi industri bagi Mei 2022.

Output isirung sawit jatuh 3.34 peratus kepada 354,895 tan daripada 367,159 tan bulan sebelum, katanya, sambil menambah bahawa pengeluaran minyak isirung sawit mentah adalah 5.75 peratus lebih rendah pada 158,408 tan daripada 168,068 tan pada April.

Sementara itu, MPOB berkata eksport minyak sawit meningkat 26.67 peratus bulan ke bulan kepada 1.36 juta tan pada Mei daripada 1.07 juta tan pada April, dengan eksport minyak isirung sawit menokok 8.95 peratus bulan ke bulan kepada 81,135 tan daripada 74,472 tan bulan sebelum.

"Eksport oleokimia jatuh 8.17 peratus bulan ke bulan kepada 222,669 tan daripada 242,468 tan.

"Bagaimanapun, eksport biodiesel melonjak 97.97 peratus bulan ke bulan kepada 46,345 tan daripada 23,411 tan," katanya.

Agensi itu berkata, Malaysia tidak mengimport MSM pada Mei 2022 berbanding 6,931 tan yang diimport pada April, manakala jumlah import sawit keseluruhan jatuh 33.87 peratus kepada 50,768 tan daripada 76,771 bulan sebelum.

-BERNAMA

Berita Harian X