Rabu, 8 Jun 2022 | 12:33pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

RUU Tanggungjawab Fiskal akan dibentang

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen dalam masa terdekat bagi membolehkan negara memulakan inisiatif pembaharuan fiskal.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata RUU itu merangkumi usaha untuk meluaskan asas cukai negara termasuk mengenakan cukai kepada ekonomi bayangan.

Beliau berkata, RUU itu juga penting bagi memastikan Malaysia dapat menambah baik cukai pematuhan serta pentadbiran ke arah membantu meningkatkan kutipan cukai.

"Ini penting untuk membina semula sumber kewangan negara bagi menyokong agenda pembangunan dan jangka masa panjang Malaysia," dalam ucaptama ketika Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2022 secara maya, hari ini.

FRA adalah kunci strategi MOF untuk meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan fiskal negara.

Ini termasuk kajian semula perbelanjaan awam untuk memastikan perbelanjaan lebih berkesan serta melaksanakan pembaharuan institusi dan tadbir urus berterusan.

Semua itu dijangka menyumbang kepada bajet lebih seimbang dan mampan serta pengurusan risiko fiskal dan hutang berhemat.

September tahun lalu, MOF menerbitkan kertas rundingan berkenaan FRA dan telah disokong pelbagai pihak.

MOF turut menyatakan sebelum ini sekiranya usaha menambah baik tadbir urus fiskal tidak dilaksanakan secepat mungkin, negara akan berhadapan kekangan hasil dalam masa terdekat.

Sementara itu, Tengku Zafrul menggesa ahli MIA meneruskan peranan sebagai penasihat perniagaan dan ejen perubahan yang penting.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha MIA dalam semua aspek, terutama membantu semua pihak berkepentingan terutamanya dalam membuat keputusan, membangun serta mengawal selia profesion perakaunan.

Katanya, langkah diambil MIA akan membantu menambah baik penguatkuasaan dan tadbir urus negara.

"Bagi mengukuhkan peraturan, kerajaan mengharapkan kerjasama berterusan dengan MIA mengenai pembaharuan Akta Akauntan 1967 dan pengendaliannya.

"Kerajaan memuji usaha MIA untuk meningkatkan pematuhan dan kualiti audit dengan menyemak semula proses dan peraturan Semakan Amalan.

"Melaksanakan langkah-langkah ini boleh meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang dipercayai, stabil dan diutamakan," katanya.

Berita Harian X