Selasa, 31 Mei 2022 | 12:40pm
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin

Sisa isirung sawit mampu stabilkan harga ayam

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha mempromosikan penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan bagi memastikan Malaysia mempunyai bekalan ayam yang mampan dalam jangka panjang.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata ladang kelapa sawit Malaysia menghasilkan bekalan sisa isirung sawit yang banyak.

Beliau menjelaskan bahawa kajian menunjukkan bahawa memberi makan kek isirung sawit (PKC) yang ditapai dan lemak pemakanan yang tinggi kepada ayam pedaging, boleh menggantikan makanan import yang digunakan oleh hampir semua ladang ayam komersial pada masa ini.

"KPPK akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan lain untuk mengkaji semula dasar eksport PKC yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan. Pada masa ini, PKC dieksport untuk industri lembu Eropah.

"Kementerian juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri untuk melihat dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan untuk industri ayam Malaysia dapat dilakukan dengan segera.

"Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak ayam. Ini termasuk kajian untuk mengurangkan kandungan serat dalam PKC," katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida berkata, antara punca kenaikan harga ayam adalah disebabkan harga makanannya yang tinggi, dengan dilaporkan peningkatan daripada RM500 satu tan kepada RM1,900 satu tan dalam beberapa kes.

Disebabkan ini, katanya ayam kurang diberi makan, menyebabkan ternakan membesar dengan lebih perlahan daripada biasa dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam.

"Buat masa ini Malaysia mengimport sebahagian besar makanan ayam dan kebanyakannya diperbuat daripada bijirin seperti jagung dan kacang soya.

"Sumber ini menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata, KPPK akan terus komited untuk memainkan peranan dalam membantu mengurangkan pergantungan Malaysia kepada makanan ternakan yang diimport.

"Kementerian akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan sektor komoditi terus menyumbang secara konsisten kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X