Selasa, 31 Mei 2022 | 12:18pm
Indeks pertanian, perhutanan & perikanan antara yang menyumbang kepada kenaikan IHPR bagi April 2022 -NSTP/Azhar Ramli
Indeks pertanian, perhutanan & perikanan antara yang menyumbang kepada kenaikan IHPR bagi April 2022 -NSTP/Azhar Ramli

Harga barang di peringkat pengeluar terus melonjak

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang kekal dua angka pada kadar 11 peratus bagi April 2022, berbanding 11.6 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata

peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada April 2022 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang meningkat 18.4 peratus berbanding 28.2 peratus yang dicatatkan pada Mac 2022.

Beliau berkata, indeks pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan peningkatan 18 peratus didorong terutama oleh kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (23.8 peratus) dan perikanan (tujuh peratus).

Pada masa yang sama, katanya indeks pembuatan meningkat 9.8 peratus berbanding 8.9 peratus dicatatkan pada Mac 2022, disokong oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (23.4 peratus), pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (23.4 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah sintetik dalam bentuk primer (13.9 peratus).

"Sementara itu, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 1.2 peratus dan 0.6 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, harga minyak mentah pada April 2022 turun sedikit daripada AS$115.60 setong pada Mac 2022 kepada AS$105.80 setong disebabkan oleh beberapa faktor antaranya termasuklah ketidaktentuan dalam prospek bekalan dan permintaan, kebimbangan terhadap lonjakan kes COVID-19 di China memandangkan negara itu adalah pengguna utama komoditi berkenaan.

Selain itu, katanya pengumuman oleh Agensi Tenaga Antarabangsa pada 1 April 2022 yang lalu bahawa 31 negara-negara ahli bersetuju untuk mengeluarkan minyak daripada rizab kecemasan sebagai tindak balas kepada kegawatan pasaran yang disebabkan oleh pencerobohan Russia ke atas

Ukraine.

"Di samping itu, harga komoditi utama Malaysia iaitu minyak sawit mentah (MSM) turut menurun daripada RM6,867 satu tan pada Mac 2022 kepada RM6,678 satu pada April 2022, sebahagian besarnya disokong oleh permintaan global yang lemah selain harga minyak sayuran lain yang turut rendah.

"Kejatuhan harga komoditi pada April 2022 mungkin bakal mengurangkan tekanan inflasi. Namun begitu, harga dilihat masih tinggi dan ketidakpastian arah aliran harga pada bulan-bulan akan datang masih menimbulkan

kebimbangan," katanya.

Berita Harian X