Ahad, 29 Mei 2022 | 11:31am
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin - Foto fail NSTP
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin - Foto fail NSTP

Cabaran besar menanti industri perladangan

KUALA LUMPUR: Selama lebih satu abad, industri perladangan kekal bertahan sebagai komponen penting bagi ekonomi Malaysia dengan penguasaan berterusan dalam pasaran global untuk pengeluaran dan eksport minyak sawit selepas Indonesia.

Dari sisi lain, industri ini juga menjadi sumber mata pencarian bagi kira-kira separuh juta pekebun kecil tempatan yang majoritinya daripada kalangan kumpulan B40.

Ini mengukuhkan lagi keperluan terhadap kesinambungan dan kestabilannya supaya industri ini berupaya berkembang dan memperluas, sekali gus memerangi diskriminasi berterusan yang dihadapinya.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), bagi 2022, hasil eksport minyak sawit dijangka meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM72.25 bilion daripada RM64.62 bilion yang dicatatkan pada 2021.

Harga minyak sawit mentah (MSM) pula diunjurkan pada purata RM4,250 satu tan dengan pengeluaran sebanyak 19 juta tan.

Pengumuman mengejut yang dibuat Datuk Zuraida Kamaruddin pada 26 Mei, selepas kira-kira sembilan bulan menerajui KPPK, telah menimbulkan reaksi bercampur-campur dalam kalangan peserta industri.

Beliau mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana percaya dengan perjuangan parti itu dan enam prinsip terasnya.

Berikutan itu, beliau berkata akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata Zuraida masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai menteri di KPPK seperti biasa, selagi beliau (Ismail Sabri) tidak membuat keputusan.

Beliau berkata, Zuraida boleh menghadiri mesyuarat Kabinet terdekat kerana kedudukannya sebagai menteri Kabinet akan diputuskan selepas mereka bertemu kelak, bagi membolehkan beliau mendapat pencerahan mengenainya.

"Saya tak pecat, dia masih menteri Kabinet sehingga mesyuarat (Kabinet) Rabu ini (1 Jun)," katanya kepada wartawan Malaysia di Tokyo pada Sabtu, pada akhir lawatan kerja rasminya di Jepun.

Pengumuman Zuraida mungkin sesuatu yang sukar buat industri tatkala menghadapi kekurangan buruh yang teruk.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) baru-baru ini mendedahkan, kekurangan penuai dan pengutip buah sawit dalam kalangan pekerja asing mengakibatkan sektor perladangan sawit mengalami kerugian RM21 bilion pada 2021, dan dijangka terus mengalami kerugian berjumlah RM28 bilion pada 2022 jika pekerja asing tidak segera dibawa masuk.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Sathia Varqa menerusi catatan di akaun Twitternya berkata sekiranya Zuraida meletak jawatan, ia akan memberi laluan kepada menteri keempat dalam tempoh tiga tahun untuk menerajui industri itu.

"Masalah yang mengekang dasar domestik daripada mencapai kemajuan iaitu pekerja asing, biodiesel, kemampanan, 3MCPD (ester 3-monokloropropandiol)," katanya.

Sebelum ini, Zuraida bersama-sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berusaha untuk membawa lebih ramai buruh asing ke negara ini bagi membantu meningkatkan pengeluaran minyak sawit.

Beliau menyasarkan membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk ladang kelapa sawit dan menjangkakan pengeluaran dan eksport minyak sawit Malaysia meningkat 30 peratus menjelang akhir 2022 susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan negara berada dalam fasa peralihan ke endemik sejak 1 April.

Pihak berkuasa meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk ladang kelapa sawit sekali gus menjadi kemasukan pekerja asing tertinggi ke dalam sektor perladangan pada pertengahan Februari 2022.

Malaysia menjangkakan kumpulan baharu pekerja asing akan tiba dalam tempoh Mei hingga Jun ini.

Usaha menangani isu kekurangan buruh merupakan antara keutamaan teratas Zuraida dalam ikrarnya apabila mengambil alih portfolio itu, selain mahu mengamalkan ekonomi kitaran dan menumpukan penghasilan semula dan kitar semula sisa komoditi menjadi sesuatu yang bersifat lebih boleh pasar.

Kekurangan buruh adalah halangan terbesar yang dihadapi industri minyak sawit terutama semasa pandemik COVID-19, dengan kerugian negara mencecah berbilion ringgit.

Bagaimanapun, pembukaan semula ekonomi global telah mendorong permintaan terpendam untuk minyak serba guna itu.

Penubuhan jawatankuasa kerja antara Malaysia dan Amerika Syarikat bagi menangani isu dakwaan penggunaan buruh paksa dalam perladangan sawit dan getah juga direalisasikan semasa tempoh perkhidmatan Zuraida.

Beliau memulakan portfolionya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 1 September 2021, mengambil alih daripada Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Zuraida kini berada di Turki bagi menghadiri Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin seterusnya ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia sebelum kembali ke tanah air pada 2 Jun.

Walau apa pun yang berlaku berhubung jawatan menteri itu, individu yang menerajui KPKK diharap terus berjuang untuk industri dan menangani isu yang dihadapi di peringkat tempatan dan dunia.

Satu pemahaman yang mendalam mengenai keseluruhan industri ini termasuk kelebihan, kelemahan, peluang serta ancaman yang dihadapinya juga penting, agar sesiapa sahaja yang menduduki kerusi itu mampu menyelesaikan isu-isu terbbait dengan sewajarnya dan lebih yakin.

Selain minyak sawit, keutamaan juga perlu diberikan kepada komoditi lain iaitu getah, koko, lada dan kayu.

Semua tumpuan kini terarah kepada negara dan kerajaan untuk menyaksikan apa yang akan berlaku selepas ini.

-BERNAMA

Berita Harian X