Selasa, 24 Mei 2022 | 9:09pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Ekonomi negara dalam hala tuju yang betul

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia bergerak ke arah hala tuju yang betul meskipun persekitaran yang mencabar terutama dengan jangkaan peningkatan kadar inflasi, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau berkata dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.0 peratus pada suku pertama 2022, yang melebihi jangkaan, kadar inflasi dijangka kekal rendah.

"Kita telah meningkatkan subsidi bagi petrol, sebahagian daripada makanan dan barangan keperluan, oleh itu, ia telah membantu inflasi kekal rendah bagi Malaysia. Bulan lalu Malaysia merekodkan inflasi pada 2.2 peratus… Jadi ia masih baik.

"Apa yang perlu kita fokuskan sekarang adalah melaksanakan subsidi lebih bersasar. Saya tidak fikir kita boleh laksanakan subsidi yang ditujukan untuk semua orang, tetapi hanya bagi kumpulan rentan, yang saya fikir mereka masih memerlukan kita," katanya menerusi temu bual di CNBC, hari ini.

Temu bual itu diadakan bersempena dengan kehadiran beliau pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, bermula 22 hingga 26 Mei.

Tengku Zafrul berkata, kadar pengangguran Malaysia yang meningkat kepada 5.3 peratus (pada Mei 2020), turun kepada 4.1 peratus bulan lalu.

Menurutnya, Malaysia berdepan pelbagai cabaran di rantau ini termasuk geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan serta sekatan pergerakan menyeluruh untuk membendung COVID-19 yang dilaksanakan China, rakan dagang terbesar negara.

"Bagaimanapun, memandangkan Malaysia adalah pengeksport bersih, ia akan membolehkan kita menampung impak itu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan dasar pengembangan fiskalnya dengan hasil tambahan yang diterima (sebagai pengeksport bersih komoditi) untuk meringankan kesan terhadap kumpulan rentan.

-BERNAMA

Berita Harian X