Ahad, 22 Mei 2022 | 11:27am
(Gambar hiasan) Minyak kelapa sawit. - NSTP/EMAIL
(Gambar hiasan) Minyak kelapa sawit. - NSTP/EMAIL

Sektor sawit negara kekal berdaya saing - KPPK

KUALA LUMPUR: Sektor sawit negara kekal berdaya saing meskipun Indonesia mengumumkan pembatalan larangan eksport komoditi itu yang mana terdapat kemungkinan harga minyak sawit mentah (MSM) akan terkesan.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), berkata pihaknya menjangkakan tidak akan ada penurunan harga yang mendadak memandangkan pasaran menjangkakan bahawa larangan eksport ini hanya bersifat

sementara.

"KPPK ingin mengingatkan semua pengusaha kelapa sawit Malaysia, termasuk firma perladangan dan pekebun kecil, supaya tenang dan tidak terlalu bimbang dengan perkembangan terkini," katanya.

Kementerian itu berkata, penganalisis pasaran turut menjangkakan pengusaha minyak sawit Malaysia bakal meraih faedah terbesar dalam jangka panjang kerana mereka mampu menjual MSM pada harga tinggi, sekali gus meningkatkan margin keuntungan bagi pertengahan kedua 2022, ditambah dengan pengeluaran yang lebih tinggi tahun ke tahun (y-o-y) dan suku ke suku (q-o-q).

"Walaupun penarikan larangan eksport memberi kelegaan besar kepada penanam Indonesia, mereka sudah terlepas tempoh harga MSM yang tinggi (Februari-April 2022) apabila harga minyak sawit Indonesia didagangkan pada diskaun yang lebih besar berbanding Malaysia, akibat dasar kawalan eksport yang telah di dilaksanakan lewat Januari 2022," katanya.

Dalam pada katanya, dasar sedia ada Indonesia dalam eksport minyak sawit mampu memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia.

Katanya, langkah negara jiran itu membolehkan Malaysia muncul sebagai pembekal dominan ke India, yang menjadi pembeli utama minyak makan dunia.

Beliau berkata, cukai eksport Malaysia yang lebih rendah dan larangan eksport Indonesia mungkin menyebabkan sumbangan eksport minyak sawit Indonesia ke India jatuh kepada 35 peratus pada tahun pemasaran semasa yang berakhir 31 Oktober ini daripada lebih 75 peratus sedekad lalu.

Katanya, dalam lima bulan pertama tahun pemasaran 2021 dan 2022, India membeli 1.47 juta tan minyak sawit Malaysia berbanding 982,123 tan metrik tan dari Indonesia.

"Bagi Mei tahun ini, India dianggarkan mengimport sekitar 570,000 tan minyak sawit, dengan 290,000 tan dari Malaysia dan 240,000 tan dari Indonesia.

"KPPK percaya bahawa harga minyak sawit mentah (MSM) akan kekal pada paras tinggi, memandangkan ketidaktentuan pengeluaran minyak bijian utama seperti kacang soya, jagung, biji serai dan biji bunga matahari sama ada disebabkan oleh ketegangan geopolitik atau cuaca yang tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, walaupun Indonesia akan menyambung semula eksport minyak sawitnya pada 23 Mei ini selepas hampir sebulan mengenakan larangan eksport, masih terdapat kemungkinan perubahan polisi memandangkan harga minyak sawit di pasaran domestik Indonesia masih belum turun ke tahap yang disasarkan.

Ini kerana penarikan balik larangan itu boleh mengakibatkan berulangnya kekurangan domestik di Indonesia.

Berita Harian X