Jumaat, 20 Mei 2022 | 1:22pm
(Gambar arkib) Pekerja ladang, Dellas Uhon,32, menjalankan kerja menuai hasil sawit di Ladang Kelapa Sawit Bukit Tampoi, Dengkil. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
(Gambar arkib) Pekerja ladang, Dellas Uhon,32, menjalankan kerja menuai hasil sawit di Ladang Kelapa Sawit Bukit Tampoi, Dengkil. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Penarikan larangan eksport Indonesia, harga sawit dijangka susut

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami penurunan berikutan penarikan larangan eksport minyak sawit Indonesia berkuat kuasa 23 Mei ini yang mana akan meningkatkan semula bekalan komoditi berkenaan di pasaran global, demikian kata penganalisis.

Namun begitu, RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, meskipun harga MSM mungkin mengalami penurunan akibat berita itu, harga saham syarikat perladangan yang beroperasi di Indonesia mungkin meningkat.

Justeru, pihaknya menyarankan peluang itu dimanfaatkan pelabur untuk memperoleh keuntungan, berikutan keadaan yang tidak menentu di Indonesia dan potensi kenaikan levi eksport yang mampu menjejaskan keuntungan.

"Indonesia akan menarik balik larangan terhadap eksport minyak sawitnya berkuat kuasa 23 Mei. Kami percaya lebih banyak pindaan dasar akan dilaksanakan memandangkan harga minyak masak pukal masih tidak menurun kepada paras yang dikehendaki," katanya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Khamis mengumumkan Indonesia akan menarik balik larangan eksport minyak sawit berkuat kuasa 23 Mei, susulan penambahbaikan bekalan minyak masak domestiknya.

Walaupun harga kebanyakan minyak masak pukal belum mencapai paras sasaran IDR14,000/liter (RM4.20), penarikan larangan itu diputuskan bagi menjaga kebajikan 17 juta pekerja industri di negara berkenaan.

Jokowi turut menekankan bahawa pihak kerajaannya akan terus mengawasi bekalan dengan teliti supaya keperluan tempatan dapat dipenuhi pada harga berpatutan.

Mengulas lanjut langkah Indonesia itu, RHB Research berkata, pihaknya percaya akan adanya pengumuman lanjut daripada kerajaan negara itu kerana harga masih belum turun kepada paras yang diingini dan pemberhentian larangan itu mampu menyebabkan berulangnya kekangan dalam pasaran domestik.

Ia berkata, pihaknya difahamkan bahawa beberapa pindaan dasar yang diambil kira merangkumi langkah menaikkan harga siling bagi minyak masak pukal kepada IDR17,000/liter (RM5.10), menubuh entiti kerajaan untuk membeli olien terkawal daripada pengeluar bagi menjaga bekalan kepada pasaran domestik, kemungkinan menaikkan levi eksport untuk menyimpan duit terutamanya untuk subsidi minyak masak dan memulakan semula skim kewajipan pasaran tempatan (DMO) dengan parameter berbeza.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata, harga MSM telah mencapai paras puncak tertingginya dan pembetulan harga dijangka berlaku dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Ia berkata, situasi krisis minyak sayuran global berkemungkinan bertambah baik pada separuh kedua tahun ini apabila pengeluaran meningkat, sementara permintaan dijangka perlahan dalam jangka pendek.

"Kami berpendapat harga MSM telah memuncak dan kami menjangkakan untuk melihat pembetulan dalam tiga bulan akan datang," katanya dalam nota penyelidikannya.

Public Investment Bank Bhd juga telah membuat semakan semula terhadap unjuran harga MSM bagi 2022 kepada RM5,000 satu tan berbanding RM4,300 satu tan sebelum ini berikutan prestasi harga MSM yang kukuh daripada dijangkakan.

Namun begitu, bank pelaburan itu masih mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2023 pada paras RM3,800 satu tan.

"Kami fikir harga MSM akan kekal kukuh pada separuh pertama 2022. Kemudian, harga MSM berpotensi merosot kepada serendah RM4,000 satu tan menjelang akhir tahun.

"Kami jangka untuk melihat peningkatan dalam pengeluaran apabila pekerja asing mula pulang ke Malaysia di tengah-tengah musim pengeluaran tinggi ditambah dengan permintaan perlahan negara pengguna minyak sayuran utama.

"Kemungkinan pemansuhan larangan eksport minyak sawit Indonesia akan menjadi berita negatif untuk pergerakan harga MSM. Pada ketika ulasan ini ditulis, niaga hadapan MSM didagangkan pada RM6,049 satu tan dan purata pada RM5,918 satu tan setakat ini tahun tahun ini," katanya.

Public Investment Bank berkata, purata harga MSM untuk 10 tahun ialah RM2,850 satu tan, yang mana ia jauh dari paras semasa RM6,400 satu tan.

Ia berkata, berikutan peningkatan besar-besaran dalam perbelanjaan berkaitan pertanian seperti gaji, baja dan racun perosak, pihaknya percaya harga MSM menuju ke paras asas yang lebih tinggi, didorong oleh faktor inflasi dipacu kos memandangkan paras pulang modal untuk harga MSM akan lebih tinggi pada masa hadapan.

"Berdasarkan analisis kami, RM1,800 satu tan adalah paras hampir pulang modal pada masa lalu. Memandangkan peningkatan kos, RM2,200 satu tan-2,400 satu tan akan menjadi tahap pulang modal baharu pada masa hadapan.

"Ia juga secara tidak langsung akan menaikkan purata jangka panjang kepada sekitar RM3,000 satu tan, yang mana adalah paras psikologi bagi harga MSM," katanya.

Industri minyak sawit Malaysia merekodkan harga MSM tertinggi sepanjang masa melebihi RM8,000 satu tan pada suku pertama 2022 disebabkan gangguan dalam bekalan minyak makan pesaing serta diburukkan lagi oleh ketegangan geopolitik semasa.

Berita Harian X