Jumaat, 20 Mei 2022 | 12:57pm
(Gambar arkib) Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar arkib) Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Terlalu awal lihat kesan penarikan larangan eksport sawit Indonesia

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyifatkan masih terlalu awal untuk melihat kesan penarikan larangan eksport minyak sawit Indonesia ke atas penawaran dan permintaan terhadap industri minyak sawit negara.

Presiden Indonesia, Joko Widodo semalam mengumumkan negara itu bakal menarik balik larangan eksport minyak sawit pada Isnin depan berikutan kemajuan dalam situasi bekalan minyak masak domestiknya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata penarikan larangan eksport oleh Indonesia itu adalah dijangkakan memandangkan Indonesia bergantung kepada eksport minyak sawit dan keputusan itu boleh memberi kesan kepada ekonomi Indonesia.

Beliau berkata, harga MSM melonjak melepasi paras RM7,000 satu tan sehingga mencecah paras tertinggi iaitu RM7,516 satu tan berikutan tindakan Indonesia untuk mengharamkan eksport minyak sawit mulai 28 April.

"Memandangkan situasi penarikan semula larangan ini adalah masih terlalu awal untuk dilihat kesannya ke atas penawaran dan permintaan ke atas industri minyak sawit Malaysia, KPKK akan tetap meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk kemungkinan mengurangkan cukai eksport minyak sawit Malaysia kepada 4.0 peratus hingga 6.0 peratus berbanding lapan peratus dan pada masa yang sama, melambatkan pelaksanaan mandat biodiesel Malaysia untuk membantu memenuhi permintaan global di tengah-tengah kekurangan minyak makan.

"Cadangan pemotongan sementara ini sedang masih di dalam peringkat awal perbincangan dan keputusan adalah tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

Namun begitu, Zuraida berkata, kementeriannya menggesa pemain industri untuk menumpukan perhatian kepada pembolehubah pasaran yang mampu mencetuskan ketidaktentuan harga.

Beliau berkata, antara pembolehubah itu adalah dasar eksport Indonesia; pemulihan pengeluaran minyak sawit di Malaysia; pelarasan dasar biodiesel di pelbagai negara; perkembangan konflik Russia-Ukraine dan cuaca di Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Selatan.

Berita Harian X