Selasa, 17 Mei 2022 | 1:52pm
Indonesia dan Malaysia menyumbang hampir 80 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global - Foto hiasan
Indonesia dan Malaysia menyumbang hampir 80 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global - Foto hiasan

Dunia mula pilih minyak sawit, terima standard Malaysia

KUALA LUMPUR: Beberapa negara utama dunia kembali memilih minyak sawit, susulan kesukaran yang dihadapi perniagaan disebabkan perang Russia-Ukraine yang menjejaskan bekalan komoditi lain.

Pengarah Bahagian Alam Sekitar dan Kelestarian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Dr Ruslan Abdullah, berkata keadaan mendesak itu turut menyaksikan negara-negara berkenaan menerima pakai piawaian yang ditetapkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) selepas menyedari operasi perniagaan semakin sukar akibat konflik terbabit.

"Sesetengah negara sudah agak kurang tegas untuk mendapatkan minyak sawit lestari, selagi mereka boleh mendapatkannya produk berkenaan dengan mudah susulan krisis Russia-Ukraine," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi forum hibrid anjuran bersama Institut Perdagangan Dunia (WTI) yang berpangkalan di Bern, Switzerland; Institut Pengajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS, UKM); dan Pengerusi Wakaf MPOB-UKM.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata negara maju perlu mengiktiraf piawaian seperti MSPO dan berfikiran terbuka dalam menilai dan menghargai sumbangannya kepada dunia.

Katanya, Malaysia bimbang piawaian penanda aras yang terus berubah dan sukar dipatuhi terutama bagi pekebun kecil akan menyebabkan persepsi dan dakwaan negatif terhadap minyak sawit tidak dapat diperbetulkan.

"Standard lebih baharu, yang turut merangkumi pensijilan MSPO tidak akan dapat mencapai tahap yang sama, kerana apabila dicapai, Meja Bulat antarabangsa mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) akan diubah semula dan menjadi lebih ketat.

"Adalah tidak adil untuk menggunakan standard sebagai penanda aras memandangkan RSPO adalah untuk perniagaan di samping memerlukan yuran keahlian setiap tahun dan kos pengauditan yang lebih tinggi. Amat sukar bagi RSPO untuk dipatuhi pekebun kecil dan peratusan yang sangat kecil pekebun kecil yang diperakui RSPO," katanya.

Ahmad Parveez menjelaskan, perubahan berterusan piawaian RSPO dan keperluan pematuhan akan menjadikannya lebih mahal dan standard mampan yang tidak lestari, seterusnya menyebabkan minyak sawit kehilangan daya saing dari segi harga dalam jangka panjang.

"Kami berharap piawaian MSPO yang disemak semula dan pematuhan lain membabitkan undang-undang negara serta antarabangsa berkaitan kelestarian, standard produk dan kesejahteraan sosial akan membantu Malaysia memperoleh akses pasaran lebih besar dan diterima global," katanya.

Indonesia, Malaysia dan Thailand adalah pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

Indonesia dan Malaysia menyumbang hampir 80 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global.

Tiga negara utama itu eksport 8.2 juta tan minyak sawit ke Eropah yang mana ia turut digunakan sebagai biofuel untuk sektor pengangkutan.

Bagaimanapun, terdapat kritikan yang ditimbulkan sejak beberapa tahun lalu mengenai kesan negatif minyak sawit yang didakwa sering dikaitkan dengan pengembangan dan pembersihan tanah, penebangan hutan dan mengancam hidupan liar.

Selain itu, terdapat perbincangan mengenai pencabulan hak buruh, termasuk buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang membabitkan pendatang dan pekerja ladang di Malaysia dan Indonesia.

Berita Harian X