Selasa, 17 Mei 2022 | 9:08am
Industri elektrik global berdepan krisis harga berikutan peningkatan mendadak harga bahan api fosil - Foto hiasan
Industri elektrik global berdepan krisis harga berikutan peningkatan mendadak harga bahan api fosil - Foto hiasan

Tarif elektrik Malaysia antara terendah di ASEAN

KUALA LUMPUR: Penularan pandemik COVID-19 yang disusuli konflik Russia-Ukraine mengakibatkan industri elektrik global terus berdepan krisis harga berikutan peningkatan mendadak harga bahan api fosil iaitu arang batu, gas asli dan petroleum.

Harga arang batu misalnya, kini mencecah lebih AS$200 setan sementara harga minyak mentah dunia pula sudah melebihi paras AS$113 setong - suatu keadaan yang akan terus mendorong kenaikan harga arang batu dunia berikutan peningkatan permintaan.

Lonjakan harga bahan api fosil, khususnya arang batu, menyebabkan industri elektrik negara menerima tempias dengan kos penjanaan elektrik kini meningkat 4.5 kali ganda.

Ini kerana, arang batu dan gas asli digunakan untuk menjana hampir 93 peratus bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia, dan kos penjanaan termasuk bahan api pula membentuk lebih 65 peratus daripada tarif asas elektrik.

Tekanan terhadap kos penjanaan disebabkan kenaikan harga bahan api ini dapat diuruskan secara lebih teratur dengan sistem tarif yang telus menerusi pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang membolehkan kos-kos berkenaan dikaji setiap enam bulan.

Menerusi ICPT, kerajaan menetapkan jika berlaku penurunan harga bahan api dan kos penjanaan secara global, penjimatan akan dikembalikan kepada rakyat sebagai rebat ICPT.

Namun, jika berlaku kenaikan harga bahan api dan kos penjanaan, lebihan kos akan disalurkan kepada rakyat sebagai surcaj ICPT.

Pelarasan ICPT terkini untuk tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022 membolehkan pengguna domestik di Semenanjung menikmati rebat dua sen bagi setiap kilowatt per jam (kWj) manakala surcaj minimum 3.70 sen/kWj dikenakan terhadap pengguna industri dan komersial.

Untuk memastikan pengguna domestik terus menikmati rebat dua sen bagi setiap kWj itu, kerajaan memanfaatkan dana berjumlah RM715 juta yang disediakan menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Selain itu, pengguna domestik juga menerima subsidi lintang daripada sektor perindustrian serta komersial, menjadikan Malaysia antara negara ASEAN yang melaksanakan kaedah ini dalam usaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyatnya.

(Subsidi lintang dalam konteks ini merujuk kepada kadar tarif pengguna yang lebih tinggi dibayar oleh sektor bukan domestik bagi menampung kos elektrik pengguna domestik di bawah 300 kWj untuk keseimbangan ekuiti)

Menurut Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST), antara faktor kadar tarif elektrik yang rendah di Malaysia ialah penggunaan campuran penjanaan dalam penghasilan tenaga elektrik.

Mengambil contoh Singapura, campuran penjanaan negara itu kebanyakannya membabitkan gas asli yang perlu diimport, manakala di Malaysia menyaksikan campuran penjanaan terdiri daripada pelbagai sumber bahan api seperti arang batu, gas asli, tenaga solar dan lain-lain.

"Kepelbagaian dalam campuran penjanaan ini menyebabkan kos penjanaan elektrik di Malaysia lebih stabil dan seterusnya menjadikan kadar tarif elektrik di Malaysia munasabah serta berpatutan.

"Tambahan pula, kadar tarif elektrik di Malaysia menggunakan elemen subsidi bersilang daripada pengguna-pengguna kategori komersial dan industri kepada pengguna domestik bagi tujuan keseimbangan ekuiti.

"Ini menyebabkan kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik lebih rendah jika dibandingkan dengan pengguna domestik di negara ASEAN yang lain seperti Singapura, yang mana kadar tarif elektrik di negara itu direka berdasarkan kos sebenar atau kos reflektif pembekalan elektrik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, ST berkata, ia mengawal selia sistem pengurusan elektrik di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan melalui rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

(IBR adalah sebahagian daripada pemodenan industri bekalan elektrik yang telah diperkenalkan bagi penetapan tarif elektrik ke atas Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada awal 2014, NUR Power (pembekal elektrik Taman Teknologi Tinggi Kulim) pada awal 2017, dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada awal 2022)

"Objektif utama mekanisme IBR adalah untuk melindungi pengguna dengan memastikan harga tarif yang munasabah kepada pengguna akhir. Ini membolehkan syarikat utiliti memperoleh pulangan yang berpatutan daripada pelaburan dalam menyediakan infrastruktur bekalan elektrik mengikut tempoh IBR yang sama.

"Pulangan itu juga dilaburkan semula bagi menambah baik dan meningkatkan lagi sistem pembekalan elektrik di negara ini," jelas suruhanjaya itu.

Dalam pada itu, rangka kerja IBR membolehkan penetapan tarif secara berstruktur, telus dan efektif dengan mengambil kira keperluan perbelanjaan pembangunan dan operasi yang efisien oleh pihak utiliti dalam menyediakan perkhidmatan bekalan elektrik kepada pengguna yang tertakluk kepada peraturan dan proses kawal selia yang sangat ketat oleh ST.

Pelarasan tarif elektrik di Malaysia turut ditentukan oleh mekanisme ICPT yang menjadi antara cabang utama rangka kerja IBR.

Mekanisme ini diguna pakai bagi membolehkan syarikat utiliti seperti TNB, NUR Power dan SESB selaku penjana dan pembekal elektrik, menentukan tahap pelarasan (peningkatan atau pengurangan) terhadap kos bahan api yang tidak terkawal dalam sistem penjanaan elektrik menerusi pelarasan tarif bagi tempoh setiap enam bulan.

"Kaedah ini mempunyai kelebihan dari segi menyeimbangkan keperluan sistem utiliti elektrik dan pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia.

"Pelarasan ICPT adalah berdasarkan konsep kos sebenar bahan api dan penjanaan elektrik sekiranya harga bahan api menyusut berbanding harga bahan api yang telah diunjurkan pada tempoh kawal selia. Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pengguna dengan menikmati rebat atau kadar elektrik yang lebih rendah.

"Sekiranya berlaku pengurangan dalam kos bahan api, pihak utiliti perlu memindahkan pengurangan itu kepada akaun pengguna melalui rebat dan sekiranya berlaku pertambahan dalam kos bahan api, maka pihak utiliti perlu memindahkan pertambahan tersebut kepada akaun pengguna melalui surcaj tarif elektrik," jelas ST.

Berhubung isu Malaysia sebagai antara negara ASEAN yang paling kurang mengalami kejadian gangguan bekalan elektrik (blackout), iaitu purata hanya 45.25 minit pada 2021 mengikut 'System Average Interruption Duration Index' (SAIDI), ST berkata situasi itu disumbangkan oleh margin rizab penjanaan yang tinggi dan sistem grid yang berdaya harap.

Selain itu, pengukuhan jaringan talian penghantaran 500 kV dan 275 kV telah meningkatkan daya harap sistem bekalan elektrik negara.

Jaringan talian penghantaran ini juga membolehkan tenaga dibekalkan ke semua pusat beban dengan lancar dan seterusnya mengurangkan risiko kejadian blackout.

"Antara teknologi lain yang diguna pakai bagi mengurangkan gangguan bekalan elektrik ialah pemasangan SCADA (Distribution Automation), iaitu pengendalian operasi secara jarak jauh (remote) dari pusat kawalan yang mampu mempercepat pemulihan bekalan apabila berlaku kerosakan pada sistem TNB.

"Kaedah pemantauan talian bekalan TNB dengan menggunakan dron yang dilengkapi 'Infrared Detector' serta 'Ultrasonic Detector' juga diguna pakai bagi mengesan potensi-potensi kerosakan yang boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik," tambah suruhanjaya itu.

-BERNAMA

Berita Harian X