Jumaat, 13 Mei 2022 | 3:08pm
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2022 -NSTP/Aswadi Alias
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2022 -NSTP/Aswadi Alias

Malaysia tidak berdepan risiko kemelesetan ekonomi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan tiada risiko kemelesetan ekonomi di negara ini dengan pertumbuhan akan dipacu oleh permintaan domestik dan peralihan ke fasa endemik, kata Gabenor, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Katanya, walaupun terdapat risiko di peringkat global, bank pusat yakin dengan trajektori pertumbuhan ekonomi negara ini.

"Prestasi ekonomi negara pada suku pertama tahun ini membuktikan pemulihan berada dalam landasan yang betul.

"Pembukaan semula ekonomi menyaksikan pemulihan selanjutnya dalam permintaan domestik terutama perbelanjaan sektor swasta dan sektor eksport terus mencatatkan pertumbuhan dua angka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2022, hari ini.

Nor Shamsiah berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa juga akan merangsang aktiviti pelancongan.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan yang ada, ketibaan pelancong ke negara ini meningkat tiga kali ganda dalam tempoh dua bulan tahun ini, manakala jumlah trafik penumpang di lapangan terbang meningkat sejak Oktober tahun lalu.

Katanya, data terkini menunjukkan jumlah trafik penumpang meningkat lebih lima kali ganda dari tahun ke tahun.

"Pertumbuhan (ekonomi negara) akan dipacu perbelanjaan swasta di tengah-tengah sokongan dasar berterusan untuk isi rumah dan perniagaan.

"Kadar pengangguran juga menurun daripada 4.6 peratus pada tahun lalu kepada jangkaan empat peratus tahun ini," katanya.

Berita Harian X