Khamis, 12 Mei 2022 | 9:41pm
Aktiviti ekonomi dan suasana perniagaan semakin bertambah baik -NSTP/Asyraf Hamzah
Aktiviti ekonomi dan suasana perniagaan semakin bertambah baik -NSTP/Asyraf Hamzah

KDNK suku pertama diunjur lebih lima peratus

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara dalam landasan meneruskan momentum pertumbuhan positif pada suku pertama 2022 dengan unjuran berkembang antara empat hingga lebih lima peratus disokong pembukaan semula ekonomi dan peralihan ke fasa endemik, kata penganalisis.

Penganalisis berpendapat, ekonomi Malaysia bergerak daripada pemulihan tahun lalu ke fasa pengembangan dan pertumbuhan kukuh tahun ini dan perlahan menuju ke arah trajektori pertumbuhan lebih mampan dalam jangka sederhana dan jangka panjang.

Namun, penganalisis mengingatkan risiko penurunan masih kekal berikutan harga komoditi tinggi akan memacu kepada peningkatan kos dan harga pengguna, potensi varian baharu, isu kekangan rantaian bekalan berterusan dan konflik geopolitik global.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pihaknya menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku pertama tahun ini bakal mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 4.3 peratus.

Beliau berkata, peningkatan dalam pertumbuhan perbelanjaan swasta serta sumbangan positif daripada nilai eksport bersih adalah perkara tunjang yang menyokong pertumbuhan ekonomi pada suku pertama.

Di samping itu, katanya, bayaran pindahan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan sebagainya juga dilihat mampu melonjakkan lagi pertumbuhan penggunaan swasta.

"Di samping itu, aktiviti ekonomi lebih terbuka berikutan kelonggaran diberikan kerajaan bermula Oktober tahun lalu juga mampu untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi suku pertama tahun ini," katanya kepada BH.

KDNK suku pertama 2022 dijangka diumumkan esok.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim, bagaimanapun berkata pertumbuhan ekonomi negara bagi suku pertama tahun ini dijangka lebih sederhana iaitu sekitar 2.6 peratus.

Beliau berkata, walaupun terdapat kebimbangan lonjakan mendadak kes jangkitan COVID-19 sebelum ini berikutan penularan varian Omicron, pertumbuhan pada suku pertama 2022 dijangka kekal positif disokong oleh peningkatan perbelanjaan domestik serta eksport barangan yang memberangsangkan terutamanya komponen elektrik dan elektronik (E&E), petroleum ditapis, minyak sawit dan gas asli.

"Momentum pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan kekal positif berikutan keputusan kerajaan untuk melonggarkan lagi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 termasuk pembukaan semula sempadan antarabangsa negara.

"Secara umumnya, aktiviti ekonomi dan suasana perniagaan akan bertambah baik kerana pembukaan semula ekonomi negara yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya.

Sementara itu, AmBank Research dalam nota penyelidikannya pula menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang kukuh pada suku pertama 2022 sekitar 5 hingga 5.2 peratus berbanding pertumbuhan 3.6 peratus pada suku keempat 2021.

Ia berkata, unjuran pertumbuhan kukuh itu berdasarkan perangkaan pengeluaran perindustrian (IP) yang kukuh suku pertama 2022 yang berkembang 5.1 peratus dan eksport meningkat 22.2 peratus.

Kenanga Investment Bank Bhd pula menjangkakan KDNK negara suku pertama tahun ini berkembang 5.7 peratus dan jangkaan pertumbuhan bagi keseluruhan 2022 pada lima hingga 5.5 peratus.

Ia berkata, aktiviti perkilangan negara dijangka lebih baik berikutan pembukaan semula sempadan dan peningkatan mendadak permintaan didorong oleh pelbagai sokongan kerajaan dan kadar vaksinasi yang tinggi.

Moody's Analytics dalam taklimat harian Asia Pasifik kelmarin berkata, bacaan indeks pengeluaran perindustrian (IPI) Malaysia terbaru mengesahkan prospek positif buat KDNK suku pertama Malaysia.

Ahli ekonominya, Denise Cheok, berkata KDNK Malaysia pada suku pertama tahun ini mungkin berkembang pada 1.6 peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu, namun lebih rendah daripada 6.6 peratus direkodkan pada suku keempat sebelumnya.

"Dengan pergerakan trend global yang memihak kepada Malaysia, negara ini mencatatkan pertumbuhan eksport yang teguh pada bulan-bulan pertama tahun ini.

"Permintaan dalam negeri, yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada KDNK, juga dijangka menyaksikan peningkatan daripada penamatan sekatan COVID-19.

"Pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan kelembapan dalam pertumbuhan China kekal sebagai risiko penurunan, tetapi kami tetap optimistik dengan pandangan berhati-hati terhadap pertumbuhan Malaysia dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021 apabila kegiatan ekonomi disambung semula berikutan pelonggaran langkah membendung penularan pandemik.

Pertumbuhan yang kembali kukuh pada suku keempat 2021 itu, sekali gus membolehkan ekonomi negara meningkat 3.1 peratus untuk keseluruhan tahun lalu.

Berita Harian X