Rabu, 11 Mei 2022 | 1:21pm
Gambar fail. - BERNAMA
Gambar fail. - BERNAMA

Harga bahan binaan naik sehingga 3.6 peratus bulan lalu

PUTRAJAYA: Harga bahan binaan di Malaysia meningkat di antara 0.1 peratus hingga 3.6 peratus pada bulan April 2022.

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (tanpa bar keluli & termasuk bar keluli) bagi kesemua kategori bangunan meningkat di antara 0.1 dan 3.6 peratus bagi Malaysia.

Katanya, peningkatan bagi Semenanjung Malaysia di antara 0.6 hingga 3.4 peratus, Sabah di antara 0.1 hingga 2.4 peratus dan Sarawak di antara 0.8 hingga 3.6 peratus.

"IKB tanpa bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia meningkat di antara 0.9 dan 3.4 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

"Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi ialah bangunan konkrit bertetulang (K.T.) dua hingga empat tingkat (berbumbung rata) di Terengganu dan Kelantan.

"Sementara itu, IKB tanpa bar keluli di Sabah dan Sarawak meningkat di antara 0.3 dan 3.6 peratus bagi hampir semua kategori bangunan. Kategori bangunan dengan peningkatan tertinggi di Sabah dan Sarawak adalah kerangka besi satu Tingkat (menara sahaja) di Kota Kinabalu dan bangunan kayu di Kuching," katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Uzir, IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meningkat di antara 0.1 dan 3.6 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

"Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah Bangunan (KT) dua hingga empat tingkat (berbumbung rata) dan bangunan (K.T.) lima tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan dengan 3.1 peratus, Kota Kinabalu di Sabah dengan 2.4 peratus bagi kerangka besi satu tingkat (menara sahaja) dan bangunan kayu di Kuching dengan 3.6 peratus.

"Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan 'mycon 60 high tensile deformed bars' meningkat 2.3 peratus berbanding 1.4 peratus pada bulan sebelumnya.

"Peningkatan tertinggi bagi besi direkodkan di Sarawak (3.8 peratus) dan diikuti oleh Kelantan, Terengganu dan Pahang sebanyak 2.4 peratus," katanya.

Beliau berkata, harga bagi hampir semua bahan binaan seperti simen, keluli, batu baur, pasir, batu bata & dinding, bahan bumbung dan bahan siling telah meningkat pada April 2022.

"Laporan Persatuan Keluli Dunia menyatakan pengeluaran keluli mentah dunia bagi 64 buah negara adalah sebanyak 161 juta tan pada Mac 2022, dengan penurunan sebanyak 5.8 peratus berbanding Mac 2021.

"Pengeluaran keluli mentah global adalah sebanyak 456.6 juta tan dalam tempoh tiga bulan pertama pada tahun 2022 dengan penurunan sebanyak 6.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021.

"Manakala, pengeluaran keluli Asia dan Oceania adalah sebanyak 331.3 juta tan keluli mentah pada suku pertama 2022 dengan penurunan sebanyak 7.8 peratus pada suku pertama 2021," katanya.

Berita Harian X