Selasa, 10 Mei 2022 | 12:49pm
Peserta sawit di negara ini perlu mengambil peluang larangan eksport minyak sawit Indonesia. - Foto hiasan
Peserta sawit di negara ini perlu mengambil peluang larangan eksport minyak sawit Indonesia. - Foto hiasan

Larangan eksport sawit Indonesia manfaatkan Malaysia

PUTRAJAYA: Peserta sawit di negara ini perlu mengambil peluang larangan eksport minyak sawit Indonesia dengan meningkatkan keupayaan inovasi sambil meneroka strategi terbaik untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata pengusaha ladang kelapa sawit dan pengeluar minyak sawit Malaysia harus berganding bahu bagi merebut peluang yang wujud selepas keputusan Indonesia menghentikan eksport minyak sawit.

Katanya, sebagai pengeluar minyak sawit yang terbesar di dunia, Indonesia menetapkan larangan itu untuk menurunkan harga komoditi dan seterusnya mengatasi kekurangan bekalan domestiknya.

"Walaupun Malaysia bersimpati dengan situasi yang telah menjejaskan industri minyak sawit Indonesia, namun ini adalah satu kesempatan yang perlu digunakan oleh industri minyak sawit Malaysia.

(Gambar fail) Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar fail) Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Memandangkan terdapat kekaburan mengenai jangka masa larangan ini akan berkuat kuasa, industri minyak sawit negara perlu segera meningkatkan keupayaan inovasi sambil meneroka strategi yang terbaik untuk memenuhi permintaan pasaran dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida berkata, India mengimport antara 13 juta hingga 13.5 juta tan minyak masak dengan import minyak sawit merangkumi antara lapan juta hingga 8.5 juta tan (63 peratus).

Beliau berkata, negara itu juga adalah pengguna terbesar minyak sawit Indonesia, dengan hampir 45 peratus daripada kuantiti itu datang dari negara jiran manakala selebihnya diperoleh dari Malaysia.

Katanya, larangan eksport itu juga secara tidak langsung menyempitkan lagi pasaran global minyak masak akibat konflik antara Russia dan Ukraine, selain isu pemanasan global dengan harga sawit, kacang soya, minyak biji sesawi Eropah dan minyak kanola kini turut berada pada paras tertinggi dalam sejarah.

"Meskipun secara logiknya, Malaysia patut menjadi penerima manfaat sebagai pengeksport kedua terbesar minyak sawit selepas Indonesia, terdapat keraguan sama ada Malaysia mampu menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan untuk meningkatkan pengeluaran.

"Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kekal optimistik dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat ketika kemungkinan cabaran isu kekurangan pekerja masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

"Berdasarkan analisis dan unjuran trend pasaran, KPPK yakin Malaysia memiliki apa yang diperlukan untuk mengisi jurang dalam bekalan global minyak sawit," katanya.

Zuraida berkata, memandangkan harga minyak sawit akan kekal tinggi kerana stok yang rendah di negara asal dan destinasi, serta harga yang turun naik, kementerian yakin industri sawit Malaysia akan mendapat kesan positif meskipun situasi itu dijangka akan berubah sekiranya Indonesia mengkaji semula dasar larangannya sebaik saja bekalan domestik dan struktur harganya menjadi stabil.

Beliau berkata, penganalisis pasaran menjangkakan larangan eksport oleh Indonesia akan ditarik balik pada penghujung suku kedua 2022 (sekitar Julai) dan terdapat kemungkinan Indonesia akan membanjiri pasaran global dengan inventori sawitnya yang terkumpul ketika larangan eksport.

Selain itu, katanya, kementerian ingin mengingatkan peserta industri sawit negara bahawa terdapat kemungkinan perubahan harga mendadak yang akan berlaku memandangkan industri sawit memasuki tempoh puncak dalam pengeluaran bermusim sekarang.

"Tambahan pula dengan prospek Korea Selatan yang menjadi salah satu pasaran minyak sawit yang paling pesat berkembang melepaskan stok simpanannya. Perlu diingatkan bahawa jika konflik antara Russia dan Ukraine selesai, terdapat prospek kedua-dua negara ini melepaskan stok minyak biji sesawi dan bunga matahari.

"Mengambil kira risiko berkenaan, industri sawit negara perlu segera mengambil kesempatan daripada keadaan semasa dan bukannya membiarkan peluang itu berlalu," katanya.

Zuraida berkata, kementerian juga ingin memberi jaminan kepada peserta industri bahawa usaha untuk memenuhi permintaan tenaga kerja asing terutamanya untuk sektor perladangan sedang dilakukan.

Beliau berkata, pada September tahun lalu, kerajaan meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang

kelapa sawit dan mereka telah mula tiba sejak awal tahun ini.

"Malaysia kini menjangkakan kumpulan baharu pekerja asing akan tiba pada Mei dan Jun, sekali gus mengatasi masalah tenaga kerja untuk musim menuai buah sawit," katanya.

Bagi jangka masa panjang, beliau menjelaskan, KPPK mengunjurkan pengeluaran dan eksport minyak sawit akan meningkat sebanyak 30 peratus menjelang akhir 2022.

"Kementerian berkeyakinan bahawa tahap pengeluaran akan meningkat walaupun pengeluaran minyak sawit berada pada paras yang rendah disebabkan kekurangan pekerja asing pada kemuncak pandemik sejak dua tahun yang lalu berikutan pembukaan semula sempadan negara dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pasca COVID-19.

"Justeru, kementerian yakin tahap pengeluaran akan meningkat dan Malaysia berada di landasan yang betul serta mampu memenuhi permintaan minyak sawit dunia," katanya.

Berita Harian X