Selasa, 10 Mei 2022 | 12:01pm
(Gambar arkib) Kerja pemunggahan barang giat dilakukan ketika Kapal CMA CGM Antoine de Saint Exupery, kapal kontena pertama dengan kapasiti 20,600 berlabuh di Westports, Pelabuhan Klang. - NSTP/FAIZ ANUAR
(Gambar arkib) Kerja pemunggahan barang giat dilakukan ketika Kapal CMA CGM Antoine de Saint Exupery, kapal kontena pertama dengan kapasiti 20,600 berlabuh di Westports, Pelabuhan Klang. - NSTP/FAIZ ANUAR

Jualan sektor perkilangan naik 13.9 peratus

PUTRAJAYA: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 13.9 peratus kepada RM144.6 bilion pada Mac 2022, demikian mengikut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan sektor itu meningkat sebanyak 9.8 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan nilai jualan pada Mac itu dipacu oleh subsektor produk peralatan elektrik & elektronik (25.9 peratus) terutama dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.

Beliau berkata, pengembangan itu juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (14.4 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan dan subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.3 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

Katanya, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 72.2 peratus dari jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 16.8 peratus manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 7.1 peratus pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama 2021.

"Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan trend eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing merekodkan peningkatan 11.2 peratus dan 6.4 peratus.

Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada Mac 2022 adalah seramai 2.28 juta orang, meningkat 2.4 peratus berbanding 2,23 juta orang pada Mac 2021, disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (lima peratus), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.9 peratus) dan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (2.3 peratus).

Laporan itu juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,842.9 juta, meningkat 4.4 peratus atau RM328.6 juta pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Di samping itu, nilai jualan per pekerja meningkat 11.2 peratus kepada RM63,222 berbanding RM56,831 pada bulan yang sama 2021, sementara purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,429 pada Mac 2022.

Pada suku pertama 2022, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 12.8 peratus kepada RM415.3 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu didorong oleh kenaikan dalam produk peralatan elektrik dan elektronik (17.6 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (16.3 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (9.7 peratus).

Bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing meningkat 2.4 peratus dan 4.1 peratus pada suku pertama 2022.

Berita Harian X