Khamis, 5 Mei 2022 | 11:30am
Pusat beli-belah fizikal menjadi lokasi bertemu rakan sambil minum dan makan, santai, hiburan dan membeli barangan - Foto FB Malaysia Shopping Mall
Pusat beli-belah fizikal menjadi lokasi bertemu rakan sambil minum dan makan, santai, hiburan dan membeli barangan - Foto FB Malaysia Shopping Mall

Pusat beli-belah fizikal masih relevan

KUALA LUMPUR: Populariti dan pertumbuhan pesat industri e-dagang yang menyaksikan kemunculan pelbagai platform belian dalam talian tempatan dan antarabangsa ketika pandemik COVID-19, ternyata bukan penghalang kepada pusat beli-belah fizikal yang masih relevan untuk dikunjungi ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli-Belah dan Taman Tema Sunway, HC Chan memberitahu Bernama, syarikat itu misalnya mencatat prestasi lebih baik daripada dijangkakan setakat 2022 yang membuktikan bahawa pusat beli-belah fizikal masih relevan sehinggakan ada di antaranya kekal kukuh serta terus merekodkan pertumbuhan pesat.

"Bagi tempoh suku pertama 2022, prestasi jualan dan pemulihan trafik kami melebihi 100 peratus di kebanyakan kawasan kecuali bagi peruncit berkaitan pelancongan. Namun, kami menjangkakan prestasi ini akan meningkat secara beransur-ansur mulai sekarang dan tempoh seterusnya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia, Tan Sri Teo Chiang Kok, berkata biarpun rakyat Malaysia membeli-belah secara dalam talian sejak dua tahun lalu susulan pelaksanaan sekatan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP), pada masa sama mereka turut berminat untuk membeli-belah secara fizikal.

"Satu hasil kaji selidik menunjukkan lebih 75 peratus berminat untuk mengunjungi gedung beli-belah kerana sukakan suasananya selain menjadi lokasi bertemu rakan sambil minum dan makan, santai, hiburan dan membeli barangan," katanya.

Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini menyatakan peningkatan e-dagang dijangka mengubah berbanding menggantikan peranan gedung beli-belah fizikal.

Menurut BNM, aktiviti pembelian secara dalam talian di Malaysia juga secara puratanya berkembang sebanyak 18.4 peratus pada 2021, manakala bahagian e-dagang dijangka meningkat hampir dua kali ganda daripada jumlah jualan runcit dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Pihak peruncit dan pemilik gedung beli-belah memberi maklum balas terhadap peralihan ini dengan memilih saluran peruncitan omni dan menawarkan perkhidmatan selesa dalam usaha yang dapat mengimbangi pengalaman beli-belah dalam talian diingini berbanding keperluan membeli-belah secara cekap dan selamat.

"Malah, lebih ramai peruncit turut bertindak mengubah kehadiran fizikal mereka di pusat beli-belah bagi menawarkan pengalaman lebih menarik demi mengekalkan tarikan bagi pelanggan yang biasa membeli-belah secara dalam talian," menuru laporan BNM.

Dalam pada itu, Chan berkata syarikat itu turut mengakui potensi besar industri e-dagang, terutama peranannya yang turut menjadi sebahagian daripada pendekatan hibrid.

"Inilah alasan mengapa kami melancarkan Sunway eMall pada tahun lalu bagi mengembangkan lagi kumpulan pusat beli-belah kami ke pasaran lebih besar di luar pusat beli-belah fizikal. Menerusi usaha saluran omni ini, kami juga berupaya mendapat elemen terbaik daripada kedua-dua aspek terbabit.

"Sunway eMall misalnya membuka pasaran serta kemungkinan baharu untuk kami. Ia juga melengkapkan lagi ruang runcit fizikal yang merangkumi tujuh pusat beli-belah, sekali gus menggabungkan kehadiran tujuh gedung beli-belah ke dalam satu pusat digital," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, usaha fasa peralihan ke endemik turut memberi petanda jelas bahawa Sunway Malls menyaksikan permulaan untuk kembali normal.

"Ia mewujudkan satu keadaan yang lebih jelas serta penting untuk membolehkan perniagaan berkembang. Kami menjangkakan tempoh suku kedua 2022 sebagai memberangsangkan kecuali berlaku sebarang faktor luar jangka yang serius," katanya.

Chiang Kok pula berkata, pembelian secara dalam talian telah mengubah pengalaman membeli-belah yang perlu diterima oleh peruncit dan bertindak memasukkan elemen jualan dalam talian di premis perniagaan secara konservatif mereka.

"Terdapat peruncit yang memulakan perniagaan mereka mengikut model dalam talian tetapi beralih kepada kedai dan sebaliknya. Perniagaan gedung beli-belah misalnya sentiasa berubah dan perlu turut menerima perubahan untuk kekal bersaing serta meneruskan kelangsungan masing-masing," katanya.

Mengulas prospek masa depan, Chan berkata syarikat itu yakin bahawa momentum pemulihan industri pusat beli-belah mampu dikekalkan berikutan keadaan Malaysia yang beransur-ansur kembali kepada keadaan sebelumnya.

"Kami mengharapkan tempoh suku kedua 2022 yang lebih kukuh dengan sambutan Aidilfitri dapat menyumbang kepada peningkatan ketara susulan amalan balik kampung yang kini dibenarkan semula.

"Ini akan membawa kepada perbelanjaan perayaan yang lebih ketara. Bagi tempoh jangka panjang, pusat beli-belah perlu terus membangunkan aspek keyakinan dengan rakan niaga serta penaungnya dengan memperkukuh semula peranan dan relevannya kepada masyarakat.

"Pusat beli-belah yang pantas terhadap permintaan pasaran juga lebih berpotensi untuk maju," katanya.

Chiang Kok juga menyifatkan jumlah pengunjung bagi tempoh dua bulan pertama 2022 sebagai positif kerana serentak dengan musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Secara tradisinya, jumlah trafik pasca Tahun Baharu Cina lebih perlahan, namun jangkaan tahap penurunan itu tidak terlalu ketara berikutan keyakinan terhadap usaha peralihan negara ke endemik.

-BERNAMA

Berita Harian X