Selasa, 12 April 2022 | 12:40pm
Gambar fail. Pulau Langkawi antara destinasi tumpuan pelancong. - NSTP/HAMZAH OSMAN
Gambar fail. Pulau Langkawi antara destinasi tumpuan pelancong. - NSTP/HAMZAH OSMAN

Minat pelaburan dalam hotel di Malaysia meningkat - Knight Frank

KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia telah melonjakkan minat pelabur terhadap hotel Malaysia, kata firma perunding hartanah terkemuka, Knight Frank Malaysia.

Menurut kaji selidik Malaysian Hospitality Investment Intentions keduanya yang menganalisis tahap permintaan pelaburan, keutamaan dan sentimen terhadap sektor itu mendedahkan 64 peratus daripada responden sedang mempertimbang untuk meningkatkan pendedahan mereka kepada sektor hotel Malaysia, kenaikan ketara daripada 36 peratus dalam 2020.

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Knight Frank Malaysia James Buckley berkata, susulan itu pihaknya menjangkakan terdapat peningkatan jumlah transaksi hotel dalam tempoh 24 bulan akan datang apabila sentimen pelabur semakin pulih.

"Ramai dapat melihat permintaan terpendam yang kukuh untuk perjalanan percutian dan dalam jangka pendek, pelancong Singapura serta permintaan domestik akan memacu prestasi hotel pada 2022.

"Kami menjangkakan jumlah transaksi hotel meningkat pada 2022 kerana jurang harga antara vendor dan pembeli akan mengecil apabila pelabur menjadi lebih optimistik dengan pembukaan sempadan dan peningkatan ketibaan," katanya.

Firma perunding hartanah itu menyatakan pelabur terus mencari pulangan tinggi untuk mengimbangi risiko melabur dalam sektor berkenaan dengan 33 peratus responden menyasarkan hasil bersih melebihi 7.0 peratus apabila mengambil alih hotel empat hingga lima bintang di Malaysia.

Sementara itu, 26 peratus responden menyasarkan hasil bersih 6.0 hingga 7.0 peratus, manakala 19 peratus akan menerima hasil bersih 5.0 hingga 6.0 peratus.

Buckley turut mengetengahkan bahawa Malaysia disenaraikan sebagai destinasi teratas daripada 140 negara dalam Indeks Perjalanan Muslim Global MasterCard CrescentRating 2021 sebagai destinasi percutian paling mesra Muslim.

"Kalau mengikut sejarahnya, Malaysia telah menarik kumpulan pelancong antarabangsa yang pelbagai dari seluruh dunia dan berada pada kedudukan yang baik untuk menguasai pertumbuhan Pelancongan Halal," katanya.

Walaupun pembiayaan bank untuk hotel agak sukar semasa pandemik, beliau optimis bank akan menyaksikan peningkatan dalam sektor tersebut dan mula memberi pinjaman semula.

"Kaji selidik itu turut menunjukkan pemilik hotel Malaysia cenderung mempunyai tahap hutang yang agak konservatif.

Sementara itu, ia menyatakan 43 peratus hotel mempunyai kurang daripada 49 peratus nisbah pinjaman kepada nilai, manakala 17 peratus tidak mempunyai hutang sama sekali.

Ia juga mendapati 31 peratus mempunyai nisbah pinjaman kepada nilai antara 50 peratus dan 69 peratus dan 9.0 peratus mempunyai tahap kadar hutang yang tinggi melebihi 70 peratus.

Secara keseluruhan, kaji selidik itu menyimpulkan bahawa pemilik hotel dengan tahap hutang konservatif telah berjaya mengharungi ribut pandemik dan tidak perlu menjual pada harga yang terlalu rendah.

– Bernama

Berita Harian X