Isnin, 11 April 2022 | 12:12pm
(Gambar fail) - BERNAMA
(Gambar fail) - BERNAMA

Jualan borong dan runcit meningkat 8.5 peratus

KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 8.5 peratus kepada RM117.2 bilion pada Februari 2022, demikian mengikut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit dengan peningkatan sebanyak RM4.5 bilion atau 10.2 peratus untuk mencatatkan RM48.8 bilion.

Beliau berkata, perdagangan borong pula berkembang sebanyak 6.2 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM55.9 bilion.

"Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor melonjak 12.5 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM12.5 bilion. Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit menurun -2.5 peratus, disebabkan oleh subsektor perdagangan borong yang menguncup -4.7 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi prestasi mengikut subsektor, Ketua Perangkawan berkata, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak

10.2 peratus pada Februari 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 15.9 peratus atau RM2.5 bilion kepada RM18.3 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor itu turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit bahan api kenderaan 18.1 peratus;

jualan runcit barangan isi rumah 9.8 peratus; jualan runcit di kedai pengkhususan 5.6 peratus; jualan runcit makanan; minuman dan tembakau 8.6 peratus; jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi 5.7 peratus; jualan runcit bukan di kedai; gerai atau pasar 25.9 peratus dan jualan runcit di gerai dan pasar 8.8 peratus.

Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, kenaikan 6.2 peratus disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang mencatatkan RM22.3 billion, meningkat 6.0 peratus atau RM1.2 bilion.

Ia kemudiannya diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau dengan 9.2 peratus untuk merekodkan RM10.9 bilion.

Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup turut meningkat 15.9 peratus kepada RM4.7 bilion.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan 12.5 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan itu disumbangkan oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang melonjak 27.0 peratus atau RM0.7 bilion kepada RM3.5 bilion.

Beliau berkata, ia kemudian diikuti penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor, jualan kenderaan bermotor dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal masing-masing sebanyak 27.3 peratus, 3.3 peratus dan 5.1 peratus.

Indeks jualan runcit melalui internet pada Februari 2022 merekodkan pertumbuhan 19.8 peratus tahun ke tahun.

Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada Februari 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.8 peratus, disumbangkan peningkatan kenderaan bermotor yang meningkat 9.4 peratus.

Berita Harian X