Isnin, 11 April 2022 | 12:09pm
(Gambar fail) Proses pengeluaran guni kertas di kilang Hasrat Meranti Sdn Bhd, Tapah. - NSTP/ABDULLAH YUSOF
(Gambar fail) Proses pengeluaran guni kertas di kilang Hasrat Meranti Sdn Bhd, Tapah. - NSTP/ABDULLAH YUSOF

Pengeluaran industri naik 3.9 peratus pada Februari

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.9 peratus pada Februari 2022, dipacu oleh sektor pembuatan, demikian kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pengembangan IPP itu disumbangkan oleh kenaikan 5.2 peratus dalam indeks pembuatan dan 3.9 peratus dalam indeks elektrik.

Sementara itu, beliau berkata, indeks perlombongan mencatatkan kemerosotan 0.4 peratus.

"Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP merosot 6.6 peratus dipengaruhi oleh kejatuhan dalam kesemua komponen indeks," katanya dalam satu kenyataan.

Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 5.2 peratus pada Februari 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus pada Januari 2022.

Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Februari 2022 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (12.8 peratus), kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (8.4 peratus) dan produk makanan, minuman dan tembakau

(6.6 peratus).

Pada masa sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik (6.2 peratus) dan industri berorientasikan eksport (4.7 peratus).

Peningkatan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutamanya oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler dan pembuatan produk makanan.

Sementara itu, pertumbuhan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal dan pembuatan kimia dan produk kimia.

Prestasi sektor pembuatan itu juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Sektor pembuatan bagi perbandingan bulan ke bulan menyusut 7.2 peratus berbanding Januari 2022 dipengaruhi oleh kapasiti penggunaan kilang yang rendah terutamanya dalam subsektor produk mineral bukan logam; logam asas dan produk logam yang direka dan produk makanan, minuman dan tembakau.

Output sektor perlombongan merosot 0.4 peratus pada Februari 2022 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, berikutan kejatuhan 4.3 peratus dalam indeks minyak mentah dan kondensat, sementara indeks gas asli berkembang 2.6 peratus.

IPP bagi tempoh Januari hingga Februari 2022 merekodkan pengembangan 4.1 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya, disokong oleh indeks pembuatan (6.0 peratus) dan indeks elektrik (5.4 peratus).

Sementara itu, indeks perlombongan menyusut 2.8 peratus.

Berita Harian X