Rabu, 6 April 2022 | 11:03am
64 peratus responden mahukan persekitaran kerja yang selamat -NSTP/Hairul Anuar Rahim
64 peratus responden mahukan persekitaran kerja yang selamat -NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pekerja Malaysia utamakan keseimbangan kerja, kehidupan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 88 peratus pekerja di Malaysia menyifatkan pandemik menjadi pendorong untuk meningkatkan keseimbangan antara tuntutan kerja dan kehidupan, demikian mengikut hasil kaji selidik terkini Randstad.

Kaji selidik Randstad mendapati, selepas bekerja dari rumah hampir sepanjang pandemik, pekerja di negara ini mungkin telah mendapat perspektif yang berbeza mengenai kerja.

Sepanjang 18 bulan lalu, lebih tiga daripada lima responden Malaysia telah menilai semula cara kerja sesuai dengan jadual peribadi masing-masing.

Dua daripada tiga responden mengatakan bahawa mereka mengalami tahap tekanan yang lebih tinggi sejak pandemik itu bermula dan ingin membuat perubahan kepada kehidupan dan kerja mereka.

Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata bekerja dari rumah dan sekatan COVID-19 menghalang ramai pekerja daripada menyertai aktiviti sosial yang membolehkan mereka berehat selepas bekerja.

Beliau berkata, ramai yang beralih kepada bekerja lebih masa untuk mengisi masa di rumah, sehingga menjejaskan kesejahteraan dan kesihatan mental mereka dalam proses itu.

"Syarikat perlu terus menawarkan sokongan kepada kakitangan, walaupun selepas mereka kembali ke pejabat tahun ini, selain sentiasa mengingatkan pekerja untuk berehat dan menguruskan beban kerja mereka bagi mengelakkan keletihan," katanya dalam satu kenyataan.

Randstad, agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka di dunia mengeluarkan hasil Kaji Selidik Pemantauan Kerja Separuh Kedua 2021 Randstad di Malaysia, yang dijalankan pada September 2021 merentasi 34 pasaran di seluruh dunia dengan sekurang-kurangnya 800 responden dalam setiap pasaran.

Tinjauan dwi-tahunan itu menonjolkan sentimen dan persepsi terkini tenaga kerja terhadap pasaran pekerjaan tempatan.

Kaji selidik itu turut mendapati, 94 peratus responden mengatakan bahawa pengalaman pandemik itu membuatkan mereka mahukan lebih fleksibiliti dalam pekerjaan dan kerjaya.

Pandemik menyebabkan ramai rakyat Malaysia mempertimbangkan semula keutamaan hidup dan matlamat kerjaya, dengan lebih empat daripada lima responden mengatakan bahawa mereka lebih jelas mengenai matlamat peribadi dan profesional sejak permulaan pandemik.

Keutamaan kerjaya juga berubah, dengan ramai yang menghargai persekitaran kerja yang menggalakkan kesejahteraan dan fleksibiliti, yang mana data tinjauan menunjukkan 64 peratus responden mahukan persekitaran kerja yang selamat, 52 peratus mahukan peluang melakukan kerja yang bermakna dan 49 peratus mahukan fleksibiliti pekerjaan untuk menampung komitmen di luar kerja.

Mengulas lanjut, Naeem berkata, pekerja sedang menilai semula keputusan kerjaya masing-masing untuk mengejar pembangunan profesional dan peribadi, selain memahami peranan mereka dalam perubahan dunia pekerjaan.

Sebagai contoh, katanya, peluang pekerjaan kontrak menjadi lebih menarik apabila pekerja mendapat peluang untuk bekerja dalam persekitaran yang berbeza dan mengembangkan kemahiran dengan pantas.

"Peranan kontrak juga menawarkan tahap fleksibiliti yang lebih tinggi, kerana mereka boleh merundingkan waktu kerja atau berehat antara tempoh kontrak untuk rehat," katanya.

Berita Harian X