Selasa, 5 April 2022 | 1:28pm
Malaysia dijangka mencatatkan pelaburan lebih baik sepanjang 2022 - Foto hiasan
Malaysia dijangka mencatatkan pelaburan lebih baik sepanjang 2022 - Foto hiasan

Bank Dunia unjur ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus

KUALA LUMPUR: Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 5.5 peratus tahun ini, disokong oleh pembukaan semula ekonomi.

Ahli Ekonomi Kanan, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifudin, berkata langkah yang diumumkan kerajaan seperti pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan turut memberi limpahan positif terhadap penggunaan swasta.

Katanya, pelaburan juga dijangka lebih baik dan sektor luaran akan terus menyokong terutama dalam barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan sarung tangan getah.

Meskipun ekonomi dijangka pulih tahun ini, beliau menegaskan bahawa keseimbangan risiko kekal cenderung kepada penurunan, yang mana unjuran 5.5 peratus yang dibuat oleh Bank Dunia itu adalah lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini iaitu 5.8 peratus.

"Terdapat beberapa sebab yang akan mendorong risiko penurunan terhadap pertumbuhan iaitu perkembangan konflik semasa Russia-Ukraine, yang boleh mencetuskan ketidaktentuan terhadap prospek pertumbuhan global. Bagi Malaysia, sudah pasti pertumbuhan di negara maju, yang juga negara rakan dagang utama.

"Ia juga akan mewujudkan ketidaktentuan yang menyelubungi rantaian bekalan, yang mana memberi kesan kepada negara pada tahun lalu. Akhir sekali ialah sebarang berita atau kemunculan varian COVID-19 yang lebih teruk akan memberi impak negatif kepada pertumbuhan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena terbitan Perkembangan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) Bank Dunia April 2022 bertajuk 'Braving the Storm' secara maya, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda.

Sementara itu, Shakira berkata, Bank Dunia menyokong pelaksanaan subsidi secara bersasar, yang dilihat lebih baik berbanding pelaksanaan subsidi secara pukal.

Beliau berkata, bantuan bersasar akan mengehadkan impak negatif akibat kejutan dan mewujudkan ruang untuk pelaburan yang meningkatkan pertumbuhan.

Katanya, kenaikan harga komoditi ketika ini hanya memberikan kelegaan sementara terhadap kedudukan fiskal negara.

"Ruang fiskal Malaysia dijangka kekal terhad, sekali gus menekankan keperluan untuk membina semula penampan fiskal dalam jangka sederhana," katanya.

Berita Harian X