Khamis, 31 March 2022 | 3:44pm
Presiden LIAM, Loh Guat Lan
Presiden LIAM, Loh Guat Lan

Guat Lan dilantik semula sebagai Presiden LIAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melantik semula Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hong Leong Assurance Bhd (HLA), Loh Guat Lan sebagai presidennya bagi penggal 2022/2023.

Persatuan itu juga melantik semula CEO dan Presiden Sun Life Malaysia Assurance Bhd, Raymond Lew, sebagai Naib Presidennya bagi penggal yang sama semasa mesyuarat agung tahunannya pada Rabu.

LIAM dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia juga mengalu-alukan CEO Zurich Life Insurance Malaysia Bhd, Khoo Ai Lin sebagai ahli jawatankuasa pengurusan baharunya bagi penggal 2022/2023.

Persatuan itu juga disokong oleh enam ahli jawatankuasa lain iaitu CEO AIA Bhd, Ben Ng; CEO Etiqa Life Insurance Bhd, Paul Low Hong Ceong; CEO Great Eastern Life Assurance (M) Bhd, Datuk Koh Yaw Hui; CEO Manulife Insurance Bhd, Vibha Coburn; CEO Prudential Assurance Malaysia Bhd, Lim Eng Seong dan CEO Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd, Toi See Jong.

CEO LIAM, Mark O'Dell, berkata persatuan itu sentiasa konsisten menekankan tentang kepentingan perlindungan insurans hayat kepada semua rakyat Malaysia dan meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai insurans hayat menerusi pelbagai program libat urusnya serta kempen pendidikan pengguna di pelbagai platform termasuk media sosial.

"Kami bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pemegang kepentingan utama lain dalam memenuhi agenda industri bagi menambah baik literasi kewangan dan kesejahteraaan kewangan rakyat Malaysia," katanya.

O'Dell berkata, menerusi program pendidikan pengguna LIAM, persatuan itu mengetengahkan tentang kebaikan insurans hayat dan terus mendidik pengguna mengenai bagaimana pelbagai jenis polisi insurans hayat boleh membantu menampung keperluan mereka dan memainkan peranan penting bagi perancangan kewangan yang kukuh.

"Kami juga menerapkan standard tinggi profesionalisme dan integriti dalam kalangan kakitangan dan ejen kami menerusi amalan terbaik untuk melahirkan kepercayaan dalam industri," katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa industri insurans hayat kekal komited dan menumpukan untuk meneruskan agenda inklusi kewangannya serta aspirasi negara bagi meningkatkan kadar penembusan serta merapatkan jurang perlindungan insurans di negara ini.

-BERNAMA

Berita Harian X