Selasa, 29 March 2022 | 12:41pm
Konflik antara Russia dan Ukraine mencetuskan gangguan kepada rantaian bekalan global -NSTP/Aziah Azmee
Konflik antara Russia dan Ukraine mencetuskan gangguan kepada rantaian bekalan global -NSTP/Aziah Azmee

Kos barang di peringkat pengeluar naik 9.7 peratus

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan yang mengukur kos barangan di pintu kilang mencatatkan peningkatan 9.7 peratus pada Februari 2022 berbanding kenaikan 9.2 peratus yang direkodkan pada Januari 2022.

Peningkatan itu didorong oleh harga komoditi utama yang lebih tinggi, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan IHPR pengeluaran tempatan pada Februari 2022 dipacu oleh indeks perlombongan yang meningkat 23.3 peratus berbanding 34.3 peratus yang dicatatkan pada Januari 2022.

Beliau berkata, indeks pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan peningkatan lebih tinggi 17.7 peratus, didorong terutama oleh indeks bagi penanaman tanaman kekal (23.3 peratus), perikanan (9.4 peratus) dan pengeluaran ternakan (4.8 peratus).

"Pada masa yang sama, indeks pembuatan meningkat 7.9 peratus berbanding 7.0 peratus direkodkan pada Januari 2022, disokong oleh

kenaikan dalam indeks subsektor embuatan produk petroleum bertapis (20.3 peratus), pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (18.6 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah sintetik dalam bentuk primer (13.1 peratus).

"Sementara itu, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 1.4 peratus dan 0.8 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 17.7 peratus pada Februari 2022, disumbangkan oleh indeks bahan bukan makanan serta bahan makanan & makanan untuk binatang yang masing-masing meningkat 20.4 peratus dan 3.7 peratus.

Pada masa yang sama, katanya, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen kekal mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 11.4 peratus pada Februari 2022, didorong oleh kenaikan dalam indeks bahan api yang diproses & pelincir (18.4 peratus) dan bahan & komponen untuk pembuatan (11.8 peratus).

"Walau bagaimanapun, indeks barang siap turun 0.2 peratus

disebabkan oleh penurunan dalam indeks kelengkapan modal (-1.8 peratus)," katanya.

Melihat kepada perbandingan inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara lain, IHPR di United Kingdom (UK) meningkat 10.1 peratus pada Februari 2022, meningkat sedikit berbanding peningkatan 9.9 peratus yang dicatatkan pada Januari 2022.

Sementara itu, IHPR di Jepun mencatatkan peningkatan 9.3 peratus berbanding 8.9 peratus yang direkodkan pada Januari 2022.

Pada Februari 2022, IHPR di Amerika Syarikat (AS) meningkat

10 peratus tahun ke tahun.

Mengenai kesan daripada perang antara Russia dan Ukraine kepada harga komoditi utama dunia, Mohd Uzir berkata, gangguan kepada rantaian bekalan global terutama bagi komoditi utama dunia dijangka akan bertambah teruk berikutan tekanan yang berlaku antara kedua-dua negara.

"Harga bagi komoditi utama dan bahan mentah seperti minyak mentah, semikonduktor, baja dan gas asli dilihat akan terus meningkat memandangkan dua negara ini adalah antara pengeluar utama terbesar bagi bahan mentah.

"Akibatnya, harga bagi produk akhir juga akan meningkat menyebabkan pengguna, terutama mereka yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah merasai tekanan," katanya.

Berita Harian X