Rabu, 23 March 2022 | 1:11pm
Aktiviti M&A domestik meningkat merentas semua sektor pada 2021 - Foto Reuters
Aktiviti M&A domestik meningkat merentas semua sektor pada 2021 - Foto Reuters

Aktiviti M&A di Malaysia bernilai RM6.9 bilion tahun lalu

KUALA LUMPUR: Aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) di Malaysia meningkat semula pada 2021 selepas susut sedikit pada tahun sebelumnya, dengan sejumlah 31 transaksi bernilai AS$1.63 bilion (RM6.9 bilion) direkodkan, kata KPMG Malaysia.

Ia berkata, sejak pandemik melanda, landskap perniagaan Malaysia mengalami perubahan ketara apabila perniagaan berusaha untuk meneliti semula dan mengoptimumkan portfolio korporat masing-masing dalam mengejar pertumbuhan dan pemulihan.

Ketua Penasihat KPMG Malaysia, Chan Siew Mei, berkata aktiviti M&A meningkat merentas semua sektor pada 2021 disebabkan oleh penutupan yang ditangguhkan dan keyakinan pelabur yang semakin kukuh.

"Kami menjangkakan momentum ini berterusan hingga 2022 walaupun Malaysia sedang beralih ke fasa endemik bermula 1 April," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Transaksi bernilai tinggi baru-baru ini yang dicatatkan termasuk urus niaga bernilai AS$367 juta dalam subsektor pengurusan aset, dengan Affin Bank Bhd bersetuju untuk memindahkan pegangannya dalam Affin Hwang Asset Management Bhd kepada dana ekuiti persendirian berpangkalan di Luxembourg, CVC Capital Partners.

"Minat berterusan ini boleh menjadi petanda baik untuk dana unit amanah dan dana Islam kerana kedua-duanya telah menyaksikan pertumbuhan ketara dalam pasaran,'' katanya.

Siew Mei berkata, subsektor insurans juga menyaksikan pertumbuhan yang signifikan, mencatatkan urus niaga yang amat ketara bernilai AS$856 juta pada 2021 berikutan pengambilalihan syarikat insurans tempatan oleh Assicurazioni Generali dari Itali and Liberty Mutual Insurance Company Amerika.

"Sektor ini mungkin menyaksikan lebih banyak penyatuan, terutama dalam pengambilalihan penanggung insurans Malaysia oleh syarikat multinasional asing, memandangkan penanggung insurans global terus meninjau peluang untuk mengembangkan operasi mereka melalui M&A merentas sempadan,'' tambahnya.

Sektor teknologi kewangan (fintech) dan perbankan digital Malaysia juga melihat peningkatan dalam aktiviti M&A, didorong oleh kadar penggunaan digital yang tinggi dan peningkatan penggunaan e-dompet, kata KPMG Malaysia.

Sebagai contoh, ia berkata, unit fintech AirAsia Digital, BigPay, yang menjana pembiayaan sebanyak AS$100 juta daripada konglomerat Korea Selatan, SK Group, serta platform perdagangan Pine Labs yang mengambil alih Fave, platform e-dagang dan kesetiaan dengan harga AS$45 juta.

Sementara itu, KPMG Malaysia turut menyatakan Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia untuk mengeluarkan sehingga lima lesen perbankan digital menjelang akhir bulan ini.

Ia berkata, 29 pemohon untuk lesen perbankan digital termasuk beberapa konsortium perbankan digital, yang terdiri daripada bank dan syarikat bukan bank.

"Kami melihat beberapa niaga janji M&A yang ketara setakat ini dalam sektor kewangan, dan kami boleh menjangkakan perniagaan yang bijak akan merebut peluang M&A selanjutnya dalam sektor ini.

"Pelabur kini lebih yakin dalam merancang untuk jangka panjang. Lami mengunjurkan lebih banyak prospek menarik akan muncul pada tahun-tahun akan datang,'' kata Siew Mei.

-BERNAMA

Berita Harian X