Selasa, 22 March 2022 | 7:08pm
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin - Foto ihsan KPPK
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin - Foto ihsan KPPK

Pensijilan MSPO 2022 ganti MSPO 2013

PUTRAJAYA: Malaysia kini menggunakan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2022 sebagai skim pensijilan kebangsaan untuk ladang kelapa sawit, pekebun kecil dan fasiliti pemprosesan minyak sawit bagi menggantikan MSPO pertama yang diterbitkan pada 2013.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata terdapat tiga elemen yang ditambah dalam MSPO 2022 iaitu kitaran ekonomi, buruh paksa dan penempatan pekerja ladang.

"MSPO 2022 mengambil kira perubahan dalam keperluan kemampanan global dan mempertimbangkan kebolehgunaan terhadap industri minyak sawit Malaysia," katanya pada sidang media selepas melancarkan MSPO 2022 itu di sini, hari ini.

Pensijilan MSPO diperlukan untuk memastikan produk sawit Malaysia yang dihasilkan adalah mampan dan dapat diterima di pasaran global.

Zuraida berkata, pensijilan MSPO itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan pengurusan ladang kelapa sawit dan produk kelapa sawit tempatan menepati piawaian dunia.

"Ini sekali gus menangkis prejudis anti-minyak sawit oleh negara-negara barat terhadap mutu produk dan pengurusan ladang kelapa sawit Malaysia," katanya.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 85 peratus daripada ladang kelapa sawit di negara ini memiliki MSPO yang dikeluarkan Jabatan Standards Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X