Khamis, 17 March 2022 | 3:59pm
Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi sehingga sekurang-kurangnya Jun ini -NSTP/Adzlan Sidek
Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi sehingga sekurang-kurangnya Jun ini -NSTP/Adzlan Sidek

Gangguan pengeluaran sawit dijangka berterusan

KUALA LUMPUR: Gangguan pengeluaran sawit di Malaysia dijangka berlarutan sehingga beberapa bulan lagi, membolehkan harga minyak sawit mentah (MSM) akan kekal tinggi sehingga sekurang-kurangnya Jun ini.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), Chye Wen Fei, berkata, walaupun Lembaga Minyak Sawit Mentah (MPOB) mengunjurkan output MSM negara meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 19 juta tan tahun ini, ia bergantung kepada masa ketibaan pekerja asing ke Malaysia selain ketersediaan bekalan baja.

"Kami percaya harga MSM akan kekal tinggi buat sementara waktu dengan kemungkinan kekal hingga akhir separuh pertama 2022 jika tidak lagi disokong oleh beberapa gangguan bekalan.

"Selain itu, ia akan kekal stabil jika ketidaktentuan pengeluaran tidak berlaku pada pasaran utama yang timbul daripada konflik Russia-Ukraine dan kemarau di Amerika Selatan.

"Langkah kerajaan Indonesia baru-baru ini untuk meningkatkan pematuhan pasaran domestik kepada 30 peratus,akan terus menyemptkan lagi bekalan minyak sayuran dalam pasaran eksport," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Wen Fei berkata, HLIB Research turut mengekal unjuran untuk MSM 2022 hingga 2024, masing-masing pada harga RM4,300, RM3,300 dan RM3,300 setiap tan.

Katanya, konflik yang berlaku antara Russia dam Ukraine baru-baru ini mendorong harga MSM melebihi RM8,000 metrik tan, paras tertinggi sebelum kembali stabil pada RM7,000 metrik tan.

Kontrak niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives pulih daripada kerugian untuk ditutup lebih tinggi semalam, didorong oleh perkembangan positif dalam pasaran komoditi global.

Pedagang minyak sawit, David Ng memberitahu Bernama, niaga hadapan MSM ditutup lebih tinggi kerana menjejaki keuntungan dalam pasaran minyak kacang Chicago serta prospek eksport yang lebih baik dalam beberapa minggu akan datang.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM5,800 satu tan dan paras rintangan pada RM6,300 satu tan," katanya.

Pada penutup Rabu, kontrak niaga hadapan MSM untuk April 2022 meningkat RM210 kepada RM6,900 satu tan, manakala Mei 2022 menambah RM203 kepada RM6,335 satu tan dan Jun 2022 naik RM259 kepada RM6,064 satu tan.

Kontrak Julai 2022 melonjak RM278 kepada RM5,912 satu tan, Ogos 2022 bertambah RM281 kepada RM5,800 satu tan dan September 2022 naik RM276 kepada RM5,717 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 57,876 lot daripada 71,349 lot sewaktu ditutup Selasa, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 246,846 kontrak daripada 260,404 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan meningkat sebanyak RM50 kepada RM7,100 satu tan.

Berita Harian X