Jumaat, 11 March 2022 | 4:08pm
Gambar fail. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - BERNAMA
Gambar fail. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - BERNAMA

GLC, GLIC perkukuh ekosistem ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) adalah antara penyumbang utama kepada pengukuhan ekosistem ekonomi negara terutamanya pasca pandemik COVID-19 ketika ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata GLC dan GLIC telah membantu membina asas pembangunan sosio-ekonomi Malaysia selama hampir lima dekad dan sehingga kini terus menyokong usaha kerajaan bagi mempercepatkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, sehingga kini, ekosistem GLC dan GLIC merangkumi sekitar RM445 bilion atau 25 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia.

Katanya, ia juga memberi pekerjaan langsung kepada 500,000 rakyat dan menjadi antara penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara.

Menerusi mandat masing-masing, setiap GLIC dan GLC katanya komited untuk memainkan peranan dalam memastikan keberhasilan dan impak positif melalui langkah bagi memastikan kemakmuran sosio-ekonomi Keluarga Malaysia dalam jangka

pendek, sederhana dan panjang.

"Pandemik COVID-19 telah mengubah hidup dan cara kita beroperasi secara total, sama ada di peringkat individu mahupun perniagaan.

"Ia juga telah menyerlahkan pelbagai kelemahan yang telah lama bertapak di dalam struktur sosio-ekonomi kita," katanya selepas majlis pelancaran Hari Terbuka GLC 2022 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dalam usaha untuk terus menambahbaik ekosistem GLC, kerajaan juga harus mengambil kesempatan ini untuk memperkasakan GLIC dan GLC bagi membantu kerajaan menangani isu-isu struktur.

Beliau berkata, dengan pendekatan itu, kita bukan sahaja akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, tetapi juga mampu membina sebuah ekonomi yang berdaya tahan dan lestari.

Katanya, bertemakan 'Aspirasi Masyarakat Inspirasi Negara', usaha yang diutamakan oleh GLC dan GLIC adalah berpaksikan kepada tiga fokus utama iaitu rakyat, perniagaan dan ekonomi.

"GLC dan GLIC komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam menggiatkan usaha untuk memulih kehidupan Keluarga Malaysia secara menyeluruh, merangkumi mata pencarian, pekerjaan dan penambahbaikan kesihatan awam serta agenda bumiputera.

"Antara lainnya, GLC juga komited untuk menyediakan 30,000 peluang pekerjaan melalui pembabitan di dalam inisiatif JaminKerja pada 2022.

"Melalui ekosistem GLC dan GLIC juga, keupayaan dan daya saing perniagaan menerusi pelbagai inisitiaf seperti pembiayaan perniagaan, dan sokongan berterusan kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) termasuk peniaga dan syarikat bumiputra turut diperkasakan," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bagi memastikan agar ekonomi kembali mampan dan jurang ekonomi dirapatkan menerusi pemerkasaan komuniti, GLC dan GLIC juga komited untuk melaksanakan projek berteraskan konsep lestari, projek pembangunan untuk pemulihan serta projek ketersambungan digital.

Beliau berkata, semua usaha ini juga akan menyumbang kepada pelaksanaan visi Kerajaan bagi pemulihan ekonomi jangka pendek dan penyusunan semula struktur ekonomi bagi membina daya tahan jangka masa sederhana dan panjang.

Peranan GLC dan GLIC di Malaysia juga katanya turut merangkumi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersepadu menerusi Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN).

"Kerajaan yakin ekosistem GLC dan GLIC yang ditambahbaik akan terus membantu membina sebuah masa hadapan yang lebih Makmur, sejahtera, mampan dan inklusif bagi Keluarga Malaysia," katanya.

Tengku Zafrul berkata, transformasi dan penyusunan semula ekosistem GLC yang dilaksanakan kerajaan memberikan lonjakan ketara dalam operasi dan sumbangannya kepada negara.

Beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan Program Transformasi GLC bagi lima GLIC dan 20 GLC terpilih, ia berjaya meningkatkan permodalan pasaran bagi 20 GLC sebanyak 2.9 kali kepada RM386 bilion.Katanya, ia juga telah meningkatkan hasil bersih GLC dan GLIC kepada RM26.2 bilion setahun serta meningkatkan jumlah pulangan pemegang saham atau 'total shareholders' return, kepada 11.1 peratus setahun.

Berita Harian X