Khamis, 10 March 2022 | 12:45pm
Gambar fail. Pekerjaan binaan memasang Perancah besi di tapak pembinaan. - NSTP/GHAZALI KORI
Gambar fail. Pekerjaan binaan memasang Perancah besi di tapak pembinaan. - NSTP/GHAZALI KORI

Harga bahan binaan terus meningkat pada Februari

PUTRAJAYA: Harga bahan binaan di negara ini terus meningkat pada Februari seperti yang dicerminkan oleh kenaikan indeks kos bahan binaan bangunan (IKB) yang meningkat sehingga 5.2 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataannya mendedahkan IKB, tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli, bagi semua kategori bangunan telah meningkat di antara 0.3 dan 5.2 peratus di Semenanjung Malaysia, Sabah di antara 0.1 dan 2.3 peratus

dan Sarawak di antara 0.1 dan 5.8 peratus.

Berbanding bulan sebelumnya, IKB tanpa bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 0.3 dan 1.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi ialah Bangunan Konkrit Bertetulang (K.T.) 2−4 Tingkat (Berbumbung Rata) dengan 1.5 peratus di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Sementara itu, IKB tanpa bar keluli di Sabah dan Sarawak meningkat di antara 0.1 dan 2.8 peratus bagi hampir semua kategori bangunan. Kategori bangunan dengan peningkatan tertinggi di Sabah dan Sarawak adalah Bangunan (KT) 5 Tingkat dan Lebih (Untuk Pejabat) di Kota Kinabalu dan Cerucuk (KT) di Sibu.

IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meningkat di antara 0.3 dan 5.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan harga bagi kebanyakan bahan binaan seperti besi adalah disebabkan kenaikan kos bahan mentah.

Katanya, data World Bank Commodities Price menunjukkan harga bijih besi meningkat 7.8 peratus kepada AS$142.84 bagi unit kering setiap tan metrik ($/dmtu) pada Februari 2022 (Januari 2022: AS$132.53/dmtu).

"Selain harga bijih besi, harga bahan logam dan mineral lain seperti aluminium, tembaga, plumbum, timah, nikel dan zink juga menunjukkan trend menaik pada Februari 2022.

"The World Steel Association melaporkan pengeluaran besi mentah dunia bagi 64 negara ialah 155.0 juta tan (mt) pada Januari 2022, penurunan 6.1 peratus berbanding Januari 2021," katanya.

Pada Januari 2022, China dan Jepun antara pengeluar besi terbesar mencatatkan penurunan dalam pengeluaran besi berbanding setahun lalu. China mengeluarkan 81.7 mt keluli, penurunan sebanyak 11.2 peratus, manakala Jepun mengeluarkan 7.8 mt keluli (-2.1%) berbanding Januari 2021.

Ini katanya, ditambah pula dengan pengeluaran besi mentah China terus dihadkan pada tahun 2022 kerana China menyasarkan pengurangan pelepasan karbon.

Berita Harian X