Selasa, 8 March 2022 | 4:29pm
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Malaysia terima jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu berjumlah RM306.5 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama, meskipun ekonomi global masih berdepan persekitaran yang mencabar akibat pandemik COVID-19.

Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada 2021 itu melebihi jangkaan, meningkat 83.1 peratus daripada yang direkodkan pada 2020.

Ini sekali gus menjadikan negara ini kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pengembangan perniagaan global dan serantau.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ekosistem perniagaan yang kukuh membolehkan Malaysia memperoleh pelaburan strategik dan menjalin hubungan perdagangan baharu.

Beliau berkata, ia meletakkan Malaysia berada pada trajektori positif untuk memacu ekonomi ke tahap yang lebih tinggi serta mempercepatkan usaha ke arah pertumbuhan sosio-ekonomi yang inklusif.

"Kelonggaran yang diberikan kerajaan terhadap kawalan pergerakan membolehkan aktiviti ekonomi disambung semula ditambah dengan kadar vaksinasi yang tinggi.

"Langkah rangsangan yang berterusan juga dilaksanakan untuk memastikan ekosistem perniagaan kekal responsif kepada arah aliran global merangkumi dasar dan inisiatif untuk kemudahan perniagaan, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bakat, pendigitalan dan automasi.

"Secara ringkasnya, langkah terbabit berjaya meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan yang teguh dan berdaya tahan ke arah pertumbuhan yang rancak dan pemulihan yang mampan," katanya pada sidang media prestasi pelaburan Malaysia di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pada 2021, FDI menyumbang sebahagian besar jumlah pelaburan yang diluluskan dengan sumbangan RM208.6 bilion (68.1 peratus), lonjakan sebanyak 224.9 peratus berbanding RM64.2 bilion pada 2020, sementara DDI merangkumi baki RM97.9 bilion (31.9 peratus).

Beliau berkata, sektor perkilangan mendahului jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2021 sebanyak RM195.1 bilion, diikuti sektor perkhidmatan (RM94.1 bilion) dan sektor utama (RM17.3 bilion).

Katanya, Belanda (RM78 bilion), Singapura (RM47.3 bilion), China (RM31.3 bilion), Austria (RM18.9 bilion) dan Jepun (RM9.9 bilion) adalah sumber FDI teratas dari sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama di Malaysia, menyumbang 88.9 peratus daripada jumlah FDI yang diluluskan untuk tahun itu.

"Dari segi negeri, Pulau Pinang menjadi penyumbang utama kepada pelaburan diluluskan ini sebanyak RM83.5 bilion diikuti Kedah (RM68.3 bilion), Kuala Lumpur (RM37.7 bilion), Selangor (RM28.8 bilion) dan Sarawak (RM25.7 bilion).

"Jumlah pelaburan dari lima negeri ini saja menyumbang 79.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan untuk 2021," katanya.

Sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM195.1 bilion untuk 2021, meningkat 113.7 peratus berbanding 2020.

Apabila dilaksanakan, projek perkilangan yang diluluskan itu akan mewujudkan pekerjaan baru untuk 74,575 orang, dengan 28,688 adalah jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS).

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, adalah penting bagi Malaysia terus melaksanakan daya tahan ekonomi untuk pemulihan negara yang lebih mampan.

Beliau berkata, Malaysia akan terus maju ke hadapan, memperkasakan daya tahan melalui dasar teguh yang akan meningkatkan lagi trajektori positif.

Katanya, Aspirasi Pelaburan Negara (NIA) bersedia untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam bidang pertumbuhan baharu yang membawa kesan limpahan kepada ekonomi.

"Sehubungan itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2022-2033 akan terus mendorong industri tempatan untuk mempercepatkan usaha pendigitalan dan merealisasikan sepenuhnya manfaat peralihan ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.

Sehingga Disember 2021, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenal pasti 352 projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi RM39.2 bilion.

Ini termasuk dalam segmen aeroangkasa, kenderaan elektrik, jentera dan peralatan, reka bentuk litar bersepadu (IC), elektronik termaju, bahan termaju, bahan kimia, tenaga boleh diperbaharui (seperti fotovoltaik, optik dan fotonik), teknologi paparan, petrokimia, farmaseutikal, peranti perubatan dan keselamatan makanan.

Projek terbabit diunjur akan mewujudkan lebih 19,000 peluang pekerjaan baharu.

Berita Harian X