Isnin, 7 March 2022 | 12:35pm

Kajian impak CPTPP sudah siap

KUALA LUMPUR: Kajian Analisis Kos Faedah (CBA) bagi mengenal pasti impak penyertaan Malaysia ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan dibentang kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kajian itu baru selesai bulan lalu.

Katanya, CBA bertujuan mengenal pasti isu-isu berkepentingan kepada Malaysia bagi memastikan kesiapsiagaan kerajaan, industri dan rakyat, bagi meraih manfaat yang optimum daripada penyertaan Malaysia di dalam CPTPP.

"CBA juga mengesyorkan penyelesaian bersesuaian bagi menangani sebarang isu atau kos yang mungkin timbul hasil daripada pelaksanaan CPTPP.

"CBA turut mengambil kira kesan pandemik COVID-19, termasuk keupayaan dan langkah-langkah boleh diambil kerajaan, selaras Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara tanpa melanggar mana-mana peruntukan dan komitmen di bawah CPTPP," katanya menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, selepas dibentang ke Jemaah Menteri, MITI akan memuat naik dokumen CBA ke laman sesawang untuk makluman pihak yang berkepentingan, termasuk diteliti oleh Ahli Parlimen.

"MITI juga merancang mengadakan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh yang berkaitan untuk berkongsi dapatan CBA bagi memastikan semua pihak berkepentingan memahami dengan jelas hak dan obligasi Malaysia di bawah Perjanjian CPTPP," katanya.

Menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), Azmin berkata, sejumlah 14 akta pada peringkat Persekutusan perlu dipinda bagi memenuhi komitmen negara dibawah CPTPP.

"Pindaan amat penting untuk melaksanakan pembaharuan struktur diperingkat domestik, selain memastikan undang-undang negara sentiasa dikemas kini dan selaras dengan perjanjian dan piawaian antarabangsa," katanya.

Azmin berkata, akta itu seperti Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Cap Dagangan 1976, Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Akta Hak Cipta 1987.

"Baki lima lagi akta ialah Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Ordinan Buruh Sabah Bab 67, Ordinan Buruh Sarawak Bab 76 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kelima-lima baki akta ini masih dalam proses pindaan dan dijangka akan dibentangkan mengikut jadual kementerian-kementerian yang bertanggungjawab," katanya.

CPTPP akan merancakkan dagangan Malaysia. Gambar Pelabuhan Pulau Pinang di Butterworth. - Foto hiasan NSTP/MIKAIL ONG
CPTPP akan merancakkan dagangan Malaysia. Gambar Pelabuhan Pulau Pinang di Butterworth. - Foto hiasan NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X