Sabtu, 5 March 2022 | 6:02pm
Yaw Seng Heng, Pengarah Urusan Kumpulan Nippon Paint Malaysia (ketiga dari kiri) bersama pasukan pengurusan Nippon Paint Malaysia dan CMI
Yaw Seng Heng, Pengarah Urusan Kumpulan Nippon Paint Malaysia (ketiga dari kiri) bersama pasukan pengurusan Nippon Paint Malaysia dan CMI

Nippon Paint Malaysia tawar penyelesaian lengkap cat, pembinaan

SELANGOR: Nippon Paint Malaysia Sdn Bhd (Nippon Paint) mengumumkan pemerolehan 100 peratus pegangan CMI Construction Material Industry Sdn Bhd (CMI) dan 85 peratus dalam CMI Marketing Sdn Bhd (CMIM).

Pemerolehan ini selaras dengan strategi global Nippon Paint untuk memperluaskan perniagaan berkaitan bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia Penyelesaian Lengkap Cat dan Pembinaan (Total Coating and Construction Solutions – TCCS). 

Langkah ini mempertingkatkan usaha syarikat untuk menginovasi serta menawarkan penyelesaian bersesuaian dari konkrit asas sehingga ke perincian permukaan, menerusi rangkaian penyelesaian yang inovatif dan merangkumi cat sehingga ke pengedap sealan, pelekat, pengisi binaan, bahan kalis air, penyediaan lantai dan bahan simen pracampuran.

Ditubuhkan pada tahun 1997, CMI adalah sebuah pengilang yang bereputasi dan pengedar aditif bahan simen pracampuran, lapisan skim coat, plaster, pelekat jubin, bahan kalis air dan mortar teknikal.

Menerusi langkah strategik ini, Nippon Paint dapat memperkukuhkan kedudukannya sebagai satu-satunya syarikat di rantau ini yang menawarkan TCCS. 

Nippon Paint kini mempunyai kelebihan daya saing dengan memperluaskan sistem  menyeluruh untuk penyelesaian cat dan pembinaan bagi menghasilkan perincian dan perlindungan permukaan yang berkualiti tinggi.

Kini pelanggan tidak perlu berurusan dengan pelbagai pihak untuk menangani sebarang isu berkaitan.  

ImagePenyatuan pasukan Nippon Paint Malaysia dan CMI untuk menawarkan Penyelesaian Lengkap Cat dan Pembinaan (Total Coating and Construction Solutions -TCCS) ke pasaran.

Pengarah Urusan Kumpulan Nippon Paint Malaysia, Yaw Seng Heng, berkata penyelesaian teknikal pembinaan daripada CMI dapat mengatasi cabaran yang dialami industri seperti retakan halus, permukaan berkapur, rekahan cat, kupasan, dinding berkulat, permukaan berlekuk, kejatuhan jubin, resapan air dan sebagainya.

"Ia turut memberikan jaminan serta ketenangan kepada pemilik kediaman dan kontraktor mengenai penyediaan perincian dan pembinaan yang berkualiti tinggi dan sempurna. 

"Paling utama, TCCS dapat memberi penjimatan masa dan kos serta penggunaan tenaga kerja yang lebih cekap agar kerja pembinaan dapat dilaksanakan dengan mahir," katanya.

Nippon Paint percaya bahawa TCCS dilancarkan pada masa yang tepat dan sesuai dengan industri pembangunan serta pembinaan yang kian menunjukkan tanda pemulihan positif menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Usaha ini membolehkan pencapaian kerja yang berkualiti serta dapat membantu kontraktor mempercepatkan penyampaian projek bagi mencapai matlamat syarikat pemaju pembinaan dan pemilik kediaman.

Berita Harian X