Khamis, 3 March 2022 | 11:17am
Minyak sawit dari Malaysia menjadi pilihan untuk minyak sayuran - Foto hiasan
Minyak sawit dari Malaysia menjadi pilihan untuk minyak sayuran - Foto hiasan

Sawit kini minyak sayuran paling mahal

KUALA LUMPUR: Minyak sawit Malaysia kini menjadi minyak sayuran paling mahal apabila permintaannya di pasaran dunia melonjak berikutan konflik Russia-Ukraine.

Konflik terbaharu Russia-Ukraine telah menjejaskan eksport minyak bunga matahari dan minyak bijirin lain dari rantau Laut Hitam, sekali gus menjadikan minyak sawit dari negara ini sebagai pilihan untuk minyak sayuran.

Kontrak niaga hadapan bulan semerta minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mencecah RM8,000 satu tan kelmarin, manakala penanda aras kontrak Mei 2022 dilihat pada satu ketika diniagakan pada paras RM6,553.

Harga semasa dagangan global minyak bunga matahari pula adalah kira-kira RM5,780 satu tan, minyak kacang soya RM6,740 satu tan dan minyak jagung RM3,420 satu tan.

Pedagang minyak sawit, David Ng, berkata umum mengetahui Ukraine adalah pengeluar terbesar dunia bagi minyak bunga matahari.

"Namun dengan konflik berterusan ini, kami menjangkakan bekalan minyak sayuran akan terganggu. Akibatnya, permintaan akan beralih daripada minyak bunga matahari kepada minyak sawit sebagai alternatif," katanya kepada BH, semalam.

Ng juga berkata, peralihan sementara dalam permintaan MSM akibat konflik geopolitik berterusan boleh bersifat sementara, namun ia tetap menyokong pasaran minyak sawit ke arah kekal berdaya tahan.

Katanya, sehingga konflik Russia-Ukraine diselesaikan, eksport MSM Malaysia dijangka kekal menggalakkan dalam tempoh terdekat.

"Sekatan minyak sawit eksport yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia baru-baru ini juga membantu meningkatkan permintaan yang memihak kepada eksport Malaysia kerana pembeli terus membeli lebih banyak minyak sawit dari negara kita," katanya.

Selain itu, Ng berkata, terdapat beberapa faktor yang berpotensi mendorong harga MSM sehingga ke tahap mencecah RM10,000 satu tan.

"Kami tidak boleh menolak kemungkinan itu lagi. Persekitaran harga minyak mentah yang tinggi serta harga bijirin yang kukuh akan membantu menaikkan sentimen dalam pasaran sawit.

"Di samping itu, asas yang kukuh seperti bekalan yang lemah dan permintaan eksport yang teguh boleh menaikkan harga MSM kepada RM10,000 satu tan," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut berpandangan bahawa harga MSM yang kekal tinggi ketika ini dijangka berterusan untuk tempoh agak lama dan tidak mustahil berpotensi mencecah RM10,000 satu tan akibat kesan pengganda yang diterima MSM.

Katanya, isu kekurangan bekalan, pekerja asing dan lonjakan harga minyak makan serta ditambah lagi dengan krisis terbaharu Russia-Ukraine menyumbang kepada kenaikan luar jangkaan harga MSM sehingga mencecah RM8,000 satu tan.

"Industri minyak sawit global sudah dihimpit dengan isu bekalan disebabkan kekurangan pekerja asing akibat COVID-19. Saya melihat krisis Russia-Ukraine menambah tekanan selain trend peningkatan harga semua komoditi juga menyumbang kepada peningkatan harga MSM.

"Berdasarkan unjuran penganalisis, harga MSM hanya berlegar dalam julat RM3,000 hingga RM4,000 satu tan. Namun lonjakan ketara dalam tempoh beberapa minggu ini adalah di luar jangkaan semua pihak.

"Pada pemerhatian saya, sukar untuk menentukan seberapa lama harga tinggi ini akan berkekalan. Namun, saya melihat ada potensi harga MSM yang kekal tinggi ini akan kekal untuk tempoh yang agak lama dan tidak mustahil boleh mencecah RM10,000 satu tan," katanya.

Mohd Afzanizam juga berkata, sebagai negara pengeksport minyak sawit, harga MSM yang tinggi bakal melonjakkan nilai imbangan dagangan Malaysia dan dapat meningkatkan lagi pendapatan kerajaan pada tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, manfaat harga MSM dan komoditi utama lain yang tinggi, termasuk minyak mentah dan gas perlu diimbangi oleh perbelanjaan kerajaan bagi tujuan subsidi minyak masak dan bahan api kepada rakyat.

"Sebagai negara pedagang, dari aspek ekonomi ia memberi kesan positif kepada negara terutama syarikat yang terbabit secara langsung dalam komoditi dan perladangan.

"Ia bagus untuk pendapatan kerajaan, cuma kegunaan domestik kita banyak untuk import, jadi pendapatan yang diperoleh hasil harga tinggi akan diimbangi oleh perbelanjaan subsidi yang perlu dipertingkatkan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kenaikan MSM amat berkait rapat dengan kenaikan minyak mentah Brent berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan had pengeluaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Katanya, harga minyak mentah Brent diniagakan pada AS$115.58 setong kelmarin, berbanding AS$103.87 setong pada 28 Februari lalu.

"Harga minyak mentah Brent mula diniagakan di atas AS$100 setong pada 7 Februari lalu. Harga minyak mentah yang lebih tinggi dalam pasaran dunia menjadikan minyak sawit pilihan yang lebih menarik bagi sumber biodiesel, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga MSM," katanya kepada Bernama.

Ketua penyelidik komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani, pula berkata momentum meningkat minyak sawit diunjur kekal berterusan di tengah konflik Russia-Ukraine, selain faktor bekalan terhad minyak kacang soya dan minyak biji sesawi di seluruh dunia serta dasar obligasi pasaran domestik Indonesia yang memerlukan ia mengekalkan 20 peratus daripada eksport minyak sawitnya bagi penggunaan domestik.

"Pasaran tenaga yang positif dan eksport kukuh dari Malaysia pada Februari lalu juga membantu merangsang harga minyak sawit," katanya.

Berita Harian X